Hanya doktor gigi dan pengamal pergigian yang bertauliah dibenarkan merawat atau membuat apa-apa perubahan kepada gigi kita bagi tujuan perubatan dan kesihatan.

KUALA LUMPUR – Satu ‘klinik pergigian mewah’ dijalankan secara haram dengan menawarkan perkhidmatan memasang pendakap gigi halimunan dengan harga hampir RM6,000 dikesan.

Kegiatan itu dipercayai dijalankan ‘senyap’ di mana hanya menyewa sedikit ruang pejabat di bangunan pusat beli-belah terkenal di Lingkaran Syed Putra di ibu negara

Menara berkenaan memiliki tahap keselamatan yang tinggi untuk memasuki premisnya, ia bermakna hanya pelanggan yang sudah close deal sahaja diberi akses masuk.

Ruang pejabat itu serta klinik itu dipercayai dimiliki oleh pelabur dari negara jiran.

Siasatan wartawan mendapati pelanggan yang berminat perlu menjadi ahli menerusi laman web rasmi yang disediakan serta interaksi hanyalah melalui emel sahaja.

Jika temujanji sudah diaturkan, dua wakil ‘pusat’ berkenaan akan datang untuk mengadakan pemeriksaan gigi pelanggan di ruang pejabat berkenaan.

Bagi temujanji seterusnya pelanggan akan diberikan tarikh, waktu dan lokasi untuk pertemuan.

 

Selain memasang pendakap gigi, klinik itu turut menawarkan perkhidmatan pemutihan gigi.

 

Salah satu iklan yang dugunakan klinik mewah itu di media sosialnya.

Sumber memberitahu, ada beberapa operasi pergigian mewah yang sama dilakukan di negara ini berikutan penguatkuasaan yang amat ketat jika aktiviti seperti ini dilakukan di Singapura.

“Pemeriksa serta ‘doktor’ gigi berkenaan dipercayai tidak bertauliah oleh mana-mana badan pergigian dan menjalankan perkhidmatan itu tanpa lesen.

“Mereka berani mempromosi serta mengiklankan operasi menerusi laman sosial seperti Facebook dan lain-lain medium di negara ini.

“Kegiatan itu hanya didaftarkan sebagai sebuah syarikat dipercayai dibiayai oleh pelabur asing dan pelanggan rata-ratanya daripada golongan VIP yang mahukan perkhidmatan lebih privasi.

“Mereka membuka klinik dalam bangunan menggunakan mesin pengimbas pergigian iaitu dental scanner dipercayai tanpa lesen.

“Lebih membimbangkan mereka memberi pelan rawatan yang salah kepada pelanggan.

“Isunya di sini pelanggan tidak tahu kegiatan itu adalah salah mengikut undang- menyalahi Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1988 (Akta 586).

“Malah, risiko pada pelanggan kerana perkhidmatan disedikan bukan doktor yang ditauliahkan serta ada beberapa kes seperti masalah kesihatan gigi yang kritikal dirujuk kembali kepada doktor yang sah.

“Ia merugikan pelanggan kerana bayaran sudah dibuat walaupun di akhirnya masalah gigi mereka perlu dirujuk semula kepada klinik gigi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pergigian Doktor-Doktor Gigi Islam Malaysia, Dr Firdaus Hanapiah mengulas perkara itu berkata, perkhidmatan memasang pendakap gigi halimunan hanya dibenarkan di klinik pergigian berdaftar sahaja.

Presiden Persatuan Pergigian Doktor-Doktor Gigi Islam Malaysia, Dr Firdaus Hanapiah.

“Saya dapati ‘klinik mewah” itu tidak berdaftar dengan mana-mana badan pergigian yang diiktiraf. Semua pertanyaan dan komunikasi dilakukan secara atas talian sahaja menunjukkan mereka takut melakukannya secara terbuka.

“Pihak berkuasa perlu memantau kegiatan pergigian dilakukan oleh bukan doktor yang sah, boleh memberi implikasi kepada pengguna, tiada jaminan ia dilakukan mengikut prosidur yang selamat.

“Pihak persatuan akan mengemukakan aduan ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam waktu terdekat,” katanya.- MalaysiaGazette