Lima pati Indonesia yang cuba meninggalkan negara secara haram ditahan tentera di KUala Sungai Musuh, Teluk Ramunia, Kota Tinggi 4 pagi tadi.gambar Ehsan: ATM Kem Terendak Melaka

KUALA LUMPUR – Lima orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia yang disyaki cuba keluar dari negara ini ditahan pasukan tentera di Kuari Sungai Musuh, Teluk Ramunia, Johor.

Menurut kenyataan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) Kem Terendak Melaka, kesemua suspek ditahan dalam Op Benteng di kawasan di bawah tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd) pada jam 4 pagi tadi.

Katanya, operasi itu dilakukan oleh satu seksyen Pasukan Tentera Rejimen Ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) yang diketuai oleh Mejar Paiman Mat Don.

“Kesemua PATI yang ditahan merupakan lelaki dewasa yang berusia sekitar 20 hingga 40 tahun dan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai digunakan untuk membawa keluar PATI tersebut turut dirampas,” kata kenyataan tersebut.

Selain itu, sebanyak lima buah telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM1,850 dan Rp1.3 juta turut dirampas dari kelima-lima suspek, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM19,000.

“Kesemua PATI tersebut diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai bagi tindakan lanjut sebelum menjalani pemeriksaan Covid-19 dan pasukan turut meneruskan usaha membuat pencarian dan mengesan saki baki PATI di sekitar Kuari Sungai Musuh, Teluk
Ramunia,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, seramai 265 PATI yang cuba menyeludup masuk atau keluar dari Malaysia telah ditahan setakat ini pada tahun ini menerusi Op Merpati dan 104 PATI lagi ditahan dalam Op Benteng. – MalaysiaGazette