Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Keputusan berkenaan pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura dijangka diumum pada awal Ogos depan.

Kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pengumuman oleh kedua-dua kerajaan itu melibatkan dua perkara iaitu Laluan Hijau Timbal Balik untuk urusan perniagaan penting serta urusan rasmi melibatkan kedua-dua negara dan Pengaturan Ulang Alik Berkala.

Tambah beliau, rundingan pembukaan sempadan dengan negara zon hijau Covid-19 yang lain masih lagi berjalan.

Menurut Hishammuddin, keputusan berkenaan akan dimuktamadkan setelah mendapat persetujuanĀ  dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Sesungguhnya, pelaksanaan pembukaan sempadan ini bukanlah satu perkara mudah. Ia memerlukan penelitian dan persediaan rapi serta kesefahaman antara Malaysia dengan negara-negara terlibat.

“Justeru, perbincangan ini mengambil masa sebelum ia boleh dimuktamadkan. Dalam hal ini, apabila pergerakan rentas sempadan ini dibolehkan, Wisma Putra akan berusaha sebaiknya demi memastikan ia memanfaatkan kedua-dua negara dan pada masa yang sama tidak menjejaskan usaha kita memerangi wabak Covid-19,” katanya menerusi kenyataan media.

Hishammuddin berkata, rundingan dengan negara zon hijau lain mengenai pembukaan sempadan bersyarat melibatkan beberapa kategori pengecualian membabitkan urusan perniagaan penting, pelajar antarabangsa yang mahu meneruskan pengajian dan kemasukan bekalan makanan dari dan ke negara-negara jiran di Asia Tenggara.

Katanya lagi, Malaysia konsisten menekankan kepentingan untuk kedua-dua negara mencapai kesepakatan khususnya daripada aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) dan protokol kesihatan awam.

“Ia penting bagi menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat kedua-dua negara yang terlibat dalam pergerakan rentas sempadan ini,” katanya. – MalaysiaGazette