KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan UMNO menarik balik prosiding menghina mahkamah terhadap CIMB kerana keengganan bank tersebut memberi akses kepada wang sebanyak RM192.9 juta milik parti itu.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan bertindak menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menyekat pengembalian wang berkenaan yang juga dikaitkan dengan saman pelucutan hak dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad.

Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan diberitahu oleh pembelaan bahawa pihaknya sudah menerima arahan untuk menarik kembali prosiding menghina mahkamah terhadap CIMB Bank.

Peguam mewakili UMNO, Tania Scivetti berkata, pihaknya juga telah mendapat arahan menarik balik proses penghinaan itu.

CIMB Bank yang diwakili peguam, Rabindra Nathan mendedahkan bahawa anak guamnya sudah membenarkan UMNO mengakses kembali akaun parti itu pada pukul 2.20 petang Jumaat lalu.

Mohamed Zaini kemudian membenarkan permohonan penarikan tersebut, sekali gus menyaksikan UMNO kini mendapat akses kepada dana hampir RM200 juta.

Pada Jun lalu, UMNO telah memulakan proses menghina mahkamah ke atas CIMB Bank kerana belum mengembalikan wang bernilai RM192.9 juta kepada parti tersebut. – MalaysiaGazette