Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hanya Ahli-Ahli Parlimen dan pegawai sahaja dibenarkan masuk ke Persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung selama 25 hari bermula pada 13 Julai hingga 27 Ogos ini.

Begitu juga hanya petugas media dan penjawat awam sahaja diberi kebenaran berada di bangunan Parlimen.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah meluluskan prosedur standard operasi semasa sidang dewan, antaranya pemakaian pelitup muka, penyediaan cecair pembasmi kuman serta penjarakan sosial satu meter tempat duduk semasa persidangan Parlimen berlangsung.

Semua yang terlibat termasuk Ahli Parlimen, pegawai kerajaan dan petugas media perlu menjalani proses pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera serta saringan suhu badan sebelum dibenarkan masuk.

Manakala Dewan Negara pula akan bersidang selama 11 hari bermula 2 September sehingga 23 September 2020. -MalaysiaGazette