Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Agensi berita Al Jazeera digesa supaya menghentikan paparan berita berkenaan layanan terhadap warga asing ketika operasi membasmi penularan wabak Covid-19 dilaksanakan dan memohon maaf kepada kerajaan serta rakyat Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi mengelak negara ini diberikan gambaran yang salah kepada dunia.

Katanya, Malaysia dan rakyatnya cukup dikenali di serata dunia kerana membela nasib pelarian dan negara–negara yang ditindas seperti Palestin, Rohingya, Uyghur, Syria, Yemen dan pelbagai negara lagi.

“Pelbagai bantuan dan pertolongan dihulurkan tanpa mengharapkan apa-apa balasan dan penuh keikhlasan.

“Namun, apabila kerajaan Malaysia menguatkuasakan undang–undang untuk memelihara kemakmuran dan kesejahteraan negara dan rakyat Malaysia, kerajaan Malaysia dan rakyatnya digambarkan sebagai tidak adil dan berperikemanusiaan.

“Tarik balik berita serta mohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Khalil, sebagai sebuah portal berita yang berpengaruh di serata dunia, Al Jazeera dan wartawannya seharusnya bersikap adil dan tidak berat sebelah dalam melaporkan sesuatu terutamanya berita berkenaan penularan wabak pandemik Covid-19 serta operasi dilakukan ketika itu.

Katanya, tersalah lapor atau memberitakan sesuatu keadaan dengan tidak tepat boleh menimbulkan persepsi negatif dan tanggapan yang salah terhadap sesebuah negara, masyarakat mahupun keadaan sesuatu tempat dan sekelilingnya.

Ujarnya, kerajaan Malaysia telah memberikan layanan yang baik kepada semua warga asing samada yang mempunyai dokumentasi perjalanan yang sah mahupun tidak sepanjang proses saringan mahupun pembasmian wabak pandemik Covid-19 di dalam negara.

“Namun begitu, bagi yang tidak mempunyai dokumentasi perjalanan yang sah, mereka akan diasingkan dan ditahan kerana melakukan kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah untuk tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa.

“Bagi warga asing atau PATI yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, mereka dilayan dengan baik, diberikan bantuan perubatan secukupnya untuk membasmi penularan wabak Covid-19 dalam kalangan mereka dalam depoh tahanan serta penahanan dan segala tindakan pihak berkuasa mematuhi garis panduan mahupun SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Adalah tidak adil kepada Kerajaan Malaysia kerana Al Jazeera menemuramah PATI atau warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk menilai tindakan Kerajaan Malaysia dalam isu ini kerana hanya menilai naratif yang diberikan oleh sebelah pihak, katanya.

Tambah beliau, Al Jazeera sepatutnya menghubungi Kerajaan Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara tersebut sebelum menerbitkan berita dalam portal mereka.

“Dengan gambaran yang jelas dari kedua-dua belah pihak baik PATI mahupun Kerajaan Malaysia, saya percaya dan yakin Al Jazeera mampu mendapat gambaran yang jelas apa yang berlaku sebenarnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.