Ketua Pemuda Negara Parlimen Titiwangsa, Hafizam Harun menunjukkan laporan polis yang telah dibuat mengenai isu dokumentari Al Jazeera berdurasi 30 minit yang memburukkan langkah kerajaan Malaysia menangani Covid-19 di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 07 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Pemuda Negara Parlimen Titiwangsa, bersama Penggerak Komuniti Negara Titiwangsa menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan siasatan dan  mengambil tindakan tegas ke atas agensi berita Al Jazeera yang menyiarkan video yang memburukkan imej negara.

Ketua Pemudanya, Hafizam Harun yang menuntut Al Jazeera membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan berkata, video itu merupakan satu pembohongan besar yang boleh menjatuhkan maruah negara serta petugas barisan hadapan yang memerangi penularan Covid-19

“Dengan ini kita menuntut pihak Al Jazeera untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan Malaysia terhadap tomahan melulu dan tidak relevan yang telah dilemparkan” katanya selepas membuat laporan polis di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Laporan polis tersebut dilakukan bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atas wartawan dan penerbit Al Jazeera, Drew Ambrose serta warga Bangladesh, M Rayhan Kabir.

Pada Ahad lalu, Al Jazeera menyiarkan video berbentuk dikumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown | 101 East’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.

Menurut Hafizam, memandangkan sempadan Malaysia masih belum dibuka, beliau yakin Ambrose dan M Rayhan masih berada di Malaysia.

Beliau turut meminta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat dan memadamkan kandungan video tersebut di laman YouTube dan Facebook serta media sosial lain.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Negara Parlimen Titiwangsa, Zuan Azmi yang berpendapat tindakan Al Jazeera tidak beretika berkata, agensi berita itu sepatutnya lebih peka dan berhati-hati dalam menyampaikan maklumat dan bukannya menyebarkan pembohongan.

“Kita dah beri layanan yang terbaik untuk warga asing yang tidak mempunyai dokumen ini, sekarang rasa seperti dipijak, mereka seperti kacang lupakan kulit” katanya. – MalaysiaGazette