Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) akan dihenti tugas sementara pada 14 Julai 2020, jam 9 pagi untuk kerja-kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal di LRA tersebut.

Berikutan itu, sebanyak 290 kawasan di wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat akan mengalami gangguan bekalan air berjadual.

Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air adalah berbeza mengikut kawasan yang terjejas dan bergantung kepada lokasi premis pelanggan.

Air Selangor menjangkakan bahawa LRA SSP3 akan beroperasi semula dan menyalurkan bekalan air kepada para pelanggan pada 15 Julai 2020, jam 9 pagi.

Justeru itu, Air Selangor menjangkakan 48% daripada keseluruhan kawasan yang terlibat akan mula menerima bekalan air pada 16 Julai 2020, 9 pagi.

Pemulihan bekalan air dijangka mencapai tahap 80% pada 17 Julai 2020, jam 9 pagi.

”Bekalan air akan pulih sepenuhnya di semua kawasan yang terlibat pada 17 Julai 2020, jam 5 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleh yang demikian, Air Selangor akan menggerakkan sebanyak 91 lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Bantuan bekalan air melalui lori tangki ke premis pelanggan atau kawasan perumahan hanya akan bermula pada 16 Julai 2020.

Pengguna yang terjejas dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

Tambahnya, Air Selangor juga akan membuka lapan Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan menyediakan enam Pili Air Awam mulai 16 hingga 17 Julai 2020 untuk kemudahan pelanggan yang memerlukan bekalan air semasa tempoh pemulihan bekalan air.

Bagi pelanggan komersial pula, pembelian air menggunakan lori tangki air masing-masing akan dibuka di dua stesen pengisian air setempat. – MalaysiaGazette