Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) ketika merasmikan Lembah Herba Felda sempena sambutan Hari Peneroka Felda 2020 peringkat kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Kampung Tun Abdul Razak di Sungkai.

TAPAH – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan terus memberikan sokongan padu kepada FELDA untuk bangkit semula dan mengorak langkah dengan lebih gagah pada masa hadapan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata usaha itu akan membolehkan FELDA melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

“Saya ingin memberi jaminan kepada seluruh warga FELDA bahawa Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan saya akan terus memberikan sokongan padu kepada FELDA untuk bangkit semula dan mengorak langkah dengan lebih gagah pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan sambutan Hari Peneroka Felda 2020 peringkat kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Kampung Tun Abdul Razak di Sungkai dekat sini hari ini.

Sebagai langkah awal untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan Felda, Perdana Menteri telah mengarahkan penubuhan Pasukan Khas Menangani Isu Felda yang dipengerusikan oleh Pengerusi Bukan Eksekutif Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar.

“Pasukan ini sedang berusaha mengenal pasti kaedah terbaik untuk menjamin kelestarian kewangan FELDA yang akan memberi manfaat kepada seluruh warga peneroka,” kata Muhyiddin.

Pasukan itu, katanya, akan membentangkan hasil laporan kepadanya dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata beliau sedar FELDA sedang berada dalam situasi yang agak sukar pada waktu ini, namun sumbangan besar Felda kepada pembangunan negara sejak awal Felda ditubuhkan 64 tahun dahulu hingga ke hari ini, amat dihargai.

Beliau berkata antara kejayaan utama FELDA ialah membasmi kemiskinan, meningkatkan hasil komoditi negara dan meningkatkan taraf hidup masyarakat khususnya di luar bandar.- BERNAMA