KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas pakaian sukan tiruan bernilai RM 1,604,535 dalam sebuan yang dilakukan ke atas dua buah permis di di Batu Caves, Selangor baru-baru ini
Pengarah Bahagian Penguatkuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, operasi membanteras penjualan barang tiruan secara transaksi dalam talian itu dijalankan hasil maklumat dan risikan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar berkaitan penjualan barang-barang tiruan melalui transaksi dalam talian di media sosial.
Menurut beliau, hasil daripada pengaduan mendapati penjual menawarkan penjualan barang-barang tiruan di beberapa media sosial dengan harga yang lebih rendah daripada harga biasa dan risikan yangn dijalankan telah mengenalpasti dua buah premis dijadikan tempat penyimpanan barang.
“Semasa serbuan dilakukan, didapati premis tidak berpenghuni dan pasukan serbuan seterusnya telah memecah masuk setelah hampir setengah jam membuat pemantauan.
“Pemeriksaan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagang berdaftar ke atas kedua–dua premis tersebut telah menemukan sebanyak 96,915 helai pakaian jenama Adidas, Nike dan Puma,” katanya dalam kenyataan sambil menambah verifikasi awal yang dijalankan oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar mendapati kesemua pakaian tersebut disyaki tiruan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan
dengan salah.
Iskandar Halim berkata, berdasarkan maklumat dan siasatan awal pihaknya mendapati operasi yang dijalankan itu telah berjaya memutuskan rantaian 480 pengedaran dan penjualan barang-barang tiruan di negara ini.
Berikutan itu, beliau mengingatkan para peniaga agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain dan
memberi amaran kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama di pasaran agar tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika dan cuba mengambil keuntungan yang mudah.
Orang ramai disarankan agar menyalurkan maklumat kepada kementerian itu dengan melaporkan kegiatan terbabit melalui
hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri ke mana – mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran. – MalaysiaGazette
















