Abdul Hamid Bador

PUTRAJAYA – ‘Kita akan panggil pihak Al-Jazeera dan wartawan’.

Itu tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung laporan agensi berita antarabangsa Al Jazeera yang didakwa berniat memburukkan imej Malaysia menerusi dokumentari mengenai cara negara ini mengendalikan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Ini kerana kertas siasatan telah dibuka disebabkan polis telah menerima beberapa laporan polis berhubung isu berkenaan.

“Mereka akan dipanggil untuk menjawab beberapa persoalan secara rasminya kertas siasatan telah dibuka kerana ada beberapa laporan yang kami terima.

“Akan dipanggil dalam masa terdekat, lagi cepat kita selesaikan lagi bagus,” katanya kepada media selepas menghadiri pelancaran Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (BANCI 2020), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Banci 2020 dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid semalam mengesahkan polis telah memulakan siasatan berhubung laporan agensi berita antarabangsa itu.

Abdul Hamid berkata, polis akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Beberapa undang-undang bawah kanun keseksaan bawah Akta Hasutan, kita akan tengok dari sudut undang-undang selepas dia menjawab soalan-soalan,” katanya lagi.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Al jazera ni dari dulu lg , dari kes altantuya wartawan dan editor main fitnah ..tp tk pernah dengar di panggil pun..masa tu pro madet ph kot ..

Comments are closed.