Sebahagian daripada tujuh Pendatang asing tanpa izin warga Indonesia yang ditahan di Teluk Ramunia dalam Op Benteng, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Maklumat penduduk setempat yang mencurigai kehadiran individu di sekitar Kampung Baharu, Teluk Ramunia, di Johor berjaya membawa kepada penangkapan tujuh orang pendatang asing tanpa izin warga Indonesia.

Mereka yang berusia sekitar 20 hingga 40 tahun dipercayai cuba memboloskan diri dari negara ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataannya berkata, tangkapan dalam Op Benteng itu dibuat pada jam 9.10 pagi tadi.

”Hasil daripada maklumat yang diterima daripada penduduk setempat berkenaan kehadiran individu yang dicurigai, satu seksyen dari Rejimen Ke – 61 Artileri Diraja (61 RAD) yang diketuai oleh Kapten Mohd Amirul Naim Mohammad Zubir telah digerakkan bagi melaksanakan rondaan keselamatan di sekitar Kampung Baharu, Teluk Ramunia dan telah berjaya menangkap 7 orang PATI warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut kenyataan tersebut, sebanyak 11 buah telefon bimbit, 4 utas jam tangan dan 2 rantai perak telah dirampas dalam kejadian tersebut bersama wang tunai berjumlah RM 2,661.00 dan IR 11.935 juta (RM 3,530.00) menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM9,000.

4. Kesemua merekadiserahkan ke Balai Polis Bayu Damai bagi tindakan lanjut sebelum menjalani pemeriksaan Covid-19. Pasukan turut meneruskan usaha membuat pencarian dan mengesan saki baki PATI di sekitar Kuari Sungai Musuh, Teluk Ramunia. – MalaysiaGazette