Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan persiapan sebelum melakukan saringan ke atas penduduk susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar kawasan Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 MEI 2020

PUTRAJAYA – Wajah ceria Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum sidang media terjawab hari ini apabila tiada perubahan kes penularan tempatan dilaporkan bagi kes Covid-19, hari ini.

Menurut Noor Hisham, hari ini terdapat tiga kes import direkodkan dalam kalangan warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 yang
sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Satu kes tersebut memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian, di KKM, hari ini.

Tambah beliau, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 70 kes.

Tiada kes kematian direkodkan hari ini dan kekal kepada 121 kes, ujarnya.

Selain itu, terdapat lima kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,486 kes.

Untuk rekod, ia merupakan kali kedua tiada kes penularan tempatan Covid-19 direkodkan sepanjang wabak itu melanda negara sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham turut memaklumkan bahawa kluster Perhimpunan Sri Petaling diisytihar tamat pada hari ini.

Beliau berkata kluster ini telah dikesan susulan satu perhimpunan keagamaan yang telah diadakan di sebuah masjid di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

“Kes positif Covid-19 pertama kluster ini dilaporkan di dalam negara pada 11 Mac 2020 (iaitu seminggu selepas perhimpunan berakhir), iaitu kes ke-131 dan kes ke-136.

“Mereka adalah warganegara Malaysia dari negeri Pahang dan Negeri Sembilan yang telah hadir perhimpunan tersebut,” katanya lagi.

Kluster paling besar ini dikesan berpunca dari luar negara dan kemudiannya tular di dalam komuniti melalui aktiviti perhimpunan secara besar-besaran melalui kontak rapat kes yang positif.

Kluster ini menyebabkan penularan kes menular ke seluruh negara Malaysia.

Sehingga hari ini, sejumlah 42,023 individu telah disaring
dalam kluster ini.

Daripada jumlah ini, 3,375 kes positif telah dilaporkan positif Covid-19 (iaitu 38.9 peratus daripada jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia).

Kes-kes bagi kluster dan subkluster di bawahnya adalah dikesan di 7 buah negeri melibatkan 2,550 warganegara Malaysia dan 825 bukan warganegara dari 28 buah negara. – MalaysiaGazette