Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Seorang pesakit Covid-19 daripada Kluster Sri Petaling menjadi pesakit terakhir yang sembuh daripada kluster itu setelah lebih tiga bulan dirawat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, lelaki berusia 83 tahun ini sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 pada 6 Julai lalu.

“Kes sembuh yang terakhir bagi kluster Seri Petaling adalah Kes No. 799 iaitu lelaki berumur 83 tahun daripada Batu Pahat, Johor yang merupakan generasi pertama bagi kluster ini.

“Kes ini adalah daripada subkluster Majlis Perkahwinan Bandar Baru Bangi yang mencatatkan sebanyak 159 kes,” kata Noor Hisham.

Kluster itu diisytihar tamat pada hari ini apabila lelaki berkenaan discaj dan dibenarkan pulang, Isnin lalu.

Noor Hisham berkata, mangsa mengalami simptom pada 9 Mac 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Permai, Johor pada 16 Mac lalu.

“Setelah dikesan positif Covid-19 pada keesokan harinya beliau telah dipindahkan ke Hospital Enche Besar Hajah Kalsom (HEBHK), Kluang.

“Semasa di hospital, beliau telah dimasukkan ke ICU dan telah discaj daripada ICU pada 21 Jun. Beliau telah disahkan sembuh dan akhirnya discaj daripada hospital pada 6 Julai, namun dimaklumkan kepada KKM semalam,” katanya lagi.

Dalam pada itu, seorang warganegara Filipina menjadi pesakit terakhir yang dikesan positif Covid-19 bagi kluster terbesar negara itu.

Diklasifikasikan dengan kes 8367, lelaki berkenaan adalah kontak rapat daripada subkluster ini telah ditempatkan di Pusat Kuarantin Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

“Lelaki warganegara Filipina yang merupakan pelajar di sebuah Madrasah di Sg. Lui, Hulu Langat. Kes ini adalah daripada subkluster Kg. Sg. Lui yang mencatatkan sebanyak 211 kes.

“Pada saringan ulangan (saringan kesembilan) yang dijalankan pada 10 Jun 2020, beliau didapati positif tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala,” jelas Noor Hisham.

Pesakit itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan telah sembuh pada 24 Jun lalu.

Untuk rekod, 3,375 kes positif telah dilaporkan positif Covid-19 daripada kluster ini.

Kes-kes bagi kluster dan subkluster di bawahnya adalah dikesan di tujuh buah negeri melibatkan 2,550 warganegara Malaysia dan 825 bukan warganegara dari 28 buah negara. – MalaysiaGazette