Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih mampu menguruskan perbelanjaan negara menggunakan sumber dalaman tanpa perlu membuat pinjaman luar buat masa ini.

Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali ketika ditanya mengenai status bon Samurai kedua berkata, maklumat lanjut mengenai sama ada ia akan diteruskan atau tidak selepas berlakunya peralihan kerajaan pada Februari lalu diputuskan oleh Kementerian Kewangan.

“Apabila kita memperkenalkan pakej rangsangan Prihatin dan Penjana, kita tidak memerlukan pinjaman tambahan.

“Saya fikir kita masih mampu menguruskan perbelanjaan menggunakan aliran tunai dalam negara (sekurang-kurangnya) buat masa sekarang.

“Sama ada (bon Samurai) akan diteruskan atau tidak, Kementerian Kewangan yang akan putuskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sijil Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ISO 370001:2016 di kementeriannya hari ini.

Tambah Azmin, kaedah yang sama juga akan digunakan semasa merangka Bajet 2021.

“Kita masih mempunyai kapasiti untuk memiliki bajet yang kukuh menggunakan dana dari dalam negara.

“Menteri Kewangan telah memberi bayangan mengenai cabaran dalam cadangan Bajet 2021.

“Ianya sangat berbeza kerana ia memerlukan pendekatan yang mana kerajaan perlu melakukan penyesuaian semula terhadap bajet dan bagaimana kita boleh mengurangkan kesan cabaran-cabaran tersebut,” katanya lagi.

Menurut Azmin, beliau mula turun padang bagi bertemu dengan dewan-dewan perniagaan, usahawan serta pemain-pemain industri bagi mendapatkan gambaran sebenar cabaran yang dihadapi oleh orang di lapangan ketika penularan wabak dan perintah kawalan pergerakan.

Tegasnya, aktiviti ekonomi perlu segera digerakkan bagi merangsang pertumbuhan dan seterusnya membolehkan agihan pendapatan dinikmati oleh setiap rakyat.- MalaysiaGazette