Foto Instagram Mas Khan.

KUALA LUMPUR – Pelakom filem Abang Long Fadil 2, Mas Khan hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini kerana mencuri wallet mata wang kripto bernilai RM213,805 milik penerbit filem Datuk A Aida.

Majistret Farah Nasihah Annuar menjatuhkan hukuman denda RM17,000 atau penjara 26 bulan jika gagal membayar denda itu.

Mas Khan, 26, atau nama sebenarnya Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah Khan dikenakan hukuman itu selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan kali ketiga kes itu.

Bagi pertuduhan pertama, pelakon itu didenda RM7,000 atau penjara 12 bulan manakala, denda RM10,000 atau penjara 14 bulan untuk kesalahan kedua.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mencuri wallet yang merupakan mata wang kripto milik Zaidah Awang, 50, atau dikenali sebagai A. Aida tanpa izin bernilai RM59,804.15 dan RM154,000.85 di Taman Ukay Perdana, Ampang, Kuala Lumpur, pada 5 pagi 7 Mac 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, pelakon itu yang diwakili peguam Surya Putra Mohamad Taufan memohon denda minimum atas alasan anak guamnya penanggung utama keluarga selain telah memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa sejak awal siasatan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira keseriusan kes yang dilakukan dan jumlah kerugian dialami mangsa adalah tinggi iaitu lebih RM200,000. – MalaysiaGazete

1 Komen

  1. rupanya wallet boleh dicuri orang. kenapa dibenarkan wallet beroperasi. sedangkan bank ada. siapa yang jaga wallet.

Comments are closed.