Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (tengah) bersama Ketua Cawangan Anti Fraud dan Penyiasatan PERKESO, Hasnol Mohamed Hussein (kanan) dan Ketua Bahagian Integriti PERKESO, Jamil Mohd Dahalan (kiri) menunjukkan statistik penyiasatan kes penipuan tahun 2017-2019 pada sidang media berkenaan tangkapan dalang penipuan dana PERKESO oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Menara PERKESO, Jalang Ampang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya mengesan sebanyak 415 kes sindiket penipuan tuntutan faedah melibatkan kerugian berjumlah RM26 juta bermula 2017 hingga tahun lalu.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, jumlah berbentuk pencen bulanan sepanjang hayat yang dikesan itu boleh mencecah RM68 juta sekiranya dibayar berterusan.

Jelas beliau, sebahagian besar kes sudah pun dilaporkan kepada polis untuk tindakan undang-undang dan selebihnya dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Perkeso tidak akan berkompromi dengan kegiatan orang tengah yang bergerak secara individu mahpun yang berselindung di sebalik nama persatuan kebajikan, institusi atau NGO (badan bukan kerajaan).

“Perkeso juga ingin mengingatkan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan Perkeso adalah percuma  dan tidak perlu menggunakan pihak lain atau orang tengah sebagai pengantara.

“Orang ramai yang pernah ditipu atau dipergunakan oleh kegiatan orang tengah, diminta tampil memberi maklumat kepada Perkeso supaya jenayah ini dapat dibanteras,”  katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai tangkapan dalang penipuan dana Perkeso oleh SPRM di sini hari ini.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed bercakap pada sidang media berkenaan tangkapan dalang penipuan dana PERKESO oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Menara PERKESO, Jalang Ampang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 JULAI 2020.

Azman memberitahu, Perkeso mendapati sindiket orang tengah telah dikesan mengenakan bayaran antara RM15,000 hingga RM25,000 bagi setiap pelanggan bergantung kepada kes dan jumlah tuntutan.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan tangkapan tiga beranak yang disyaki mendalangi tuntutan palsu bernilai lebih RM1 juta oleh SPRM kelmarin.

Ujarnya, suspek berusia 35 hingga 67 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di SPRM Putrajaya.

Jelas beliau, modus operandi mereka dipercayai menipu dan mengubah laporan perubatan pihak hospital bagi membolehkan mereka membuat tuntutan dan insurans selain menukar ‘pesakit’ ketika melakukan pemeriksaan perubatan.

“Buat masa ini kami tidak boleh mendedahkan maklumat tererinci mengenainya kerana masih dalam siasatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Sebarang kenyataan akan dimaklumkan selepas siasatan selesai,” katanya. – MalaysiaGazette