MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berpendapat bahawa kerajaan Malaysia harus bekerja keras untuk mewujudkan polisi yang menyokong produk dan teknologi tempatan, sebagai kesinambungan kepada ekosistem syarikat-syarikat pemula Malaysia dalam pelbagai sektor industri, khususnya dalam hala tuju setelah pasca PKP.

Oleh itu, MTEM menyokong penuh rintihan yang disuarakan usahawan-usahawan teknologi dan juga NEF (Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia) yang mengeluarkan kenyataan mendesak kerajaan menyokong syarikat ICT tempatan untuk kemajuan ekonomi Malaysia. Sebenarnya fenomena ini tidak terhad kepada industri ICT semata-mata. Masalah yang dinyatakan NEF adalah simptom kepada isu yang lebih besar yang dinyatakan di dalam dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama dimana, sejak
beberapa dekad ,semakin besar kek ekonomi kita sedang dinikmati oleh bukan Syarikat Tempatan.

MTEM sedar akan kekosongan yang wujud antara ekosistem syarikat-syarikat pemula (start-up) yang membangunkan teknologi, dan polisi syarikat GLC dan polisi kerajaan berkenaan penggunaan produk-produk syarikat-syarikat pemula ini. Jelas wujudnya polisi dan inisiatif yang sudah matang dalam kementerian seperti MOSTI dan juga agensi-
agensi seperti MDEC, MaGIC, TERAJU dan banyak lagi dari segi sokongan fasa inkubasi, termasuk agihan dana pembenihan, dan pelbagai latihan yang sesuai untuk syarikat-syarikat pemula supaya dapat berkembang maju. Jutaan peruntukan serta polisi yang menekankan kreativiti dan inovasi juga diberikan kerajaan dan pemegang taruh yang lain pada peringkat ini.

Apabila syarikat-syarikat ini memasuki fasa pengembangan, sambutan pasaran terbuka jika produk adalah B2C, atau pun sambutan syarikat-syarikat swasta dan jabatan-jabatan kerajaan jika produk adalah B2B, adalah mustahak untuk menentukan kelestarian syarikat-syarikat pemula Malaysia ini. Dalam konteks ini, MTEM berpendapat bahawa kerajaan masih tidak mempunyai polisi yang jelas untuk mendukung teknologi tempatan setelah mempromosikan pembangunannya. Rungutan usahawan-usahawan tempatan menyatakan bahawa produk-produk mereka tidak diberikan penilaian yang wajar dan saksama, mengakibatkan:
1. Kerajaan membuat perolehan atau pun susunan projek fremium bersama syarikat asing. Dalam perihal ICT, kedaulatan data juga turut terjejas.
2. Kerajaan membuat perolehan daripada syarikat tempatan yang menjadi syarikat hadapan sekadar untuk mencukupkan syarat supaya syarikat asing dapat membekal.
3. Kerajaan membuat perolehan daripada syarikat gergasi tempatan yang membuat pembangunan ICTnya di luar negara seperti negara India.

Kejadian ini tidak eksklusif untuk sector ICT sahaja, malah kedengaran rintihan yang sama daripada sektor-sektor industri yang lain juga, malah ada yang menyatakan pekeliling kerajaan menyekat mereka daripada diberi penilaian yang saksama. Sudah tentu ianya tidak memangkinkan industri Malaysia, disebaliknya menggalakkan aliran mata wang ke luar negara. Di samping itu, isu tentang definisi syarikat Malaysia yang sepatutnya diberikan sokongan juga perlu diperhalusi.

Adakah syarikat yang asalnya Malaysia, tetapi kini berpusat di negara lain masih dikategorikan sebagai syarikat Malaysia? Adakah syarikat antarabangsa (multi-national corporations) yang beroperasi di Malaysia, dan mempunyai status seperti MSC dianggap sebagai syarikat Malaysia juga? Definisi terhadap syarikat tempatan akan menentukan tahap sumbangan setiap syarikat yang perlu diberikan keutamaan kepada ekonomi dalaman Malaysia. Pihak MTEM menjemput kerajaan Malaysia untuk menyahut saranan ini supaya sebuah polisi dan huraian pekeliling-pekeliling yang memberi keutamaan kepada syarikat-syarikat Malaysia yang membawa sumbangan kepada penjanaan pekerjaan dan percukaian, melalui inovasi dan rekaan teknologi tempatan, dapat dibentuk secepat mungkin, supaya ia selari dengan aspirasi agenda wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Sekali lagi kita mengujarkan kepada kerajaan untuk perhalusi sasaran dan seterusnya melaksanakan tindakan strategik Agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Sekiranya diperlekehkan, ia mungkin akan terus menghalang potensi sebenar pemegang taruh pemain ekonomi tempatan termasuk dalam kalangan Bumiputera apatah lagi dalam suasana ekonomi yang menekan. Sudah tiba untuk kita betul betul memangkinkan kempen “Buy Malaysian First” dengan kadar yang luar biasa.

Ahmad Yazid Othman
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)