Pemain-pemain pasukan Malaysia ketika menjalani sesi latihan rasmi bagi menghadapi perlawanan antara pasukan Malaysia menentang pasukan Jordan pada 30 Ogos ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 29 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang sudah memulakan sesi latihan berpasukan Fasa 1 sejak 15 Jun lepas.

Katanya, berdasarkan laporan,  semua pasukan menunjukkan komitmen tinggi terhadap SOP yang ditetapkan.

Beliau berkata, kerjasama baik oleh kesemua pasukan setakat ini mencerahkan peluang untuk melihat sesi latihan berpasukan secara sentuhan dibenarkan, namun ia bergantung kepada keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), esok.

“Saya rasa sudah sampai satu tahap kebanyakan pasukan sudah bosan dan secara mentalnya mereka tercabar untuk terus jalani latihan tanpa kontak dan mereka mahu lebih daripada itu.

“Pemain mahu mencapai tahap optimum dalam latihan dan sebab itu saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat esok agar permohonan latihan secara kontak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.

Selain cadangan pembukaan sektor sukan bola sepak untuk latihan penuh berkontak, KBS akan turut membawa cadangan kebenaran untuk kejohanan sukan secara berperingkat ke mesyuarat itu.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, soal kehadiran penonton ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak masih memerlukan beberapa penilaian secara teliti.

“Biar kita pergi daripada satu ke satu perkara dahulu malah jika kita lihat negara lain pun seperti EPL (Liga Perdana Inggeris) dan Bundesliga (Liga Jerman), perlawanan diadakan tanpa penonton,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, beliau terdahulu meninjau sesi latihan skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara menjelang Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 pada Oktober depan, bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Liga-M yang ditangguhkan pada Mac llalu susulan pandemik COVID-19 dijangka bersambung pada September ini. – Bernama