Jururawat sedang melakukan saringan Covid-19 di Tanah Abang, Jakarta, Indonesia. Foto: Agensi

JAKARTA- Kerajaan Indonesia berikrar untuk mempercepatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan termasuk insentif kepada pekerja perubatan yang tertangguh akibat terlalu banyak kerenah birokrasi.

Pegawai Khas Kementerian Kewangannya, Kunta Nugraha berkata, kerajaan hanya membelanjakan 5.12 peratus daripada Rp87.55 trilion (AS$6.06 bilion) yang diperuntukkan kepada penjagaan kesihatan disebabkan kerumitan proses verifikasi dan kelulusan.

“Masalahnya, proses verifikasi tersebut terlalu panjang sehingga menyebabkan kelulusan lambat diberikan.

“Sekarang kita akan memotong proses-proses tersebut dengan membenarkan wilayah-wilayah membuat pengesahan terus dan membuat keputusan siapakah yang layak menerima insentif tersebut.

“Kami mahu mempercepatkan urusan tetapi dalam masa yang sama mengekalkan urustadbir yang baik,” katanya kepada pemberita.

Kementerian-kementerian ketika ini bekerja keras untuk mempercepatkan agihan belanjawan yang telah diperuntukkan untuk memerangi Covid-19 selepas Presiden Joko Widodo mengancam akan merombak Kabinet sekiranya isu tersebut masih belum selesai.- MalaysiaGazette