Sebahagian peniaga SACC Mall di Shah Alam yang mengemukakan pengecualian sewa kepada Menteri Besar Selangor sejak Mei lalu masih menunggu jawapan.

KUALA LUMPUR – Para peniaga SACC Mall di Shah Alam mendakwa dikenakan pelbagai denda yang tidak munasabah serta wujud tekanan untuk keluar daripada premis jika tidak mampu bayar sewa sejak Perintah Kawalan Pergerakan( PKP) pada 18 Mac lalu.

Pengerusi Badan Bertindak bagi peniaga SACC Mall, Nora Malikiaman berkata, antara denda yang dikenakan adalah jika membuka kedai lewat, tutup kedai awal, meletak barang untuk mempromosi di luar kedai serta lewat bayar sewa.

Katanya, pelbagai jenis denda tidak masuk akal itu seolah-olah menekan peniaga sedangkan majoriti mereka sifar pendapatan sepanjang tiga bulan PKP.

Lagi pun, lebih 50 peratus pendapatan berkurang sejak beberapa tahun lalu.

“Bayangkan ada peniaga mengadu pada saya memperoleh RM180 sebulan hasil jualan, bagaimana hendak bayar sewa berjumlah RM4,000 sebulan dan lain-lain.

“Bayaran tempat letak kenderaan amat mahal sehingga RM3 sejam pertama dan RM13 sehari, bagaimana mahu menggalakkan berkunjung ke sini?” soalnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Nora,  ada peniaga diberi tekanan supaya keluar daripada premis jika tidak mampu meneruskan perniagaan sedangkan peniaga itu memiliki rekod bayaran sewa yang baik.

“Saya minta pengurusan mendedahkan siapa dan apa punca peniaga yang didakwa gagal bayar sewa sebab setahu saya semuanya berpunca setelah kurangnya pengunjung di premis ini,” katanya.

Tambah Nora, ia belum lagi isu untuk ruangan promosi di tapak legar yang amat penting kepada peniaga di aras atas kerana kurang perhatian pengunjung.

“Contohnya, lot promosi untuk perayaan hari raya sangat mahal iaitu sehingga belasan ribu bagi 44 hari, jadi hanya pemilik butik yang stabil dan mampu sahaja mampu menyewanya.

“Anehnya, bayaran promosi itu didakwa ditangguhkan dan dimasukkan dalam sewa bulan ke hadapan.

“Duit ubah suai yang dijanjikan juga tidak dikembalikan selepas bertahun-tahun lamanya kerja-kerja ubah suai siap dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga barangan keperluan musim sejuk di kompleks SACC Mall mendakwa terpaksa meneruskan perniagaan walaupun menanggung kerugian kerana kontrak dengan pengurusan.

Pesara tentera, Leftenan Kolonel (B) Zainal Abidin Dzulkarnain, 69, berkata, beliau meminta keluar daripada premis bagaimanapun tidak dibenarkan kerana masih ada kontrak sehingga Februari tahun depan.

Peniaga yang juga pesara tentera, Leftenan Kolonel (B) Zainal Abidin Dzulkarnain.

“Setakat ini belum ada undang-undang untuk membatalkan sebarang kontrak yang menyebabkan peniaga rugi akibat bencana.

“Pandemik adalah bencana kerana kita semua kehilangan sumber pendapatan, industri pelancongan dijangka ambil masa tiga tahun untuk kembali pulih.

“Saya tidak mampu teruskan lagi tetapi terpaksa teruskan kerana tidak mahu melanggar kontrak.

“Pihak pengurusan minta saya tukar jenis perniagaan ia mustahil kerana tiada penggunjung dan kos ubahsuai lebih mahal,” katanya.

Sebelum itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah mempersoalkan benarkah pengurusan rugi lebih RM9 juta kerana peniaga tidak bayar sewa.

“Berapa jumlah peniaga keseluruhan kompleks? Jika kita ambil purata 300 peniaga dengan sewa RM4,000 sebulan, maka sewa selama tiga bulan ialah RM3.6 juta.

“Itu pun jika semua peniaga langsung tidak membayar satu sen sewa pun. Ini membuka hipotesis bahawa kerugian RM9.2 juta itu bukanlah disebabkan oleh peniaga tidak bayar sewa tetapi hanyalah untuk kehilangan sebab lain.

“Malah tunggakan sewa bukan satu kerugian dan sewajarnyalah peniaga atau mana-mana pihak membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. gambar kedai kolonel bersara itu membuat saya teringat kedai kedai warga asing di bukit jambul penang ..susun atur nya menyerupai kedai tersebut dan adakah kedai ini juga di handle oleh warga asing..

Comments are closed.