Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Walaupun kawalan ketat dilaksanakan di sempadan negara, masih ada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) cuba membolosi masuk secara haram.

Ini berikutan penahanan 10 rakyat warga asing oleh polis dalam Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng yang diadakan di seluruh negara semalam.

Mereka dipercayai menggunakan lorong tikus untuk memasuki negara ini, dan akhirnya ditangkap pada sekatan jalan raya.

Kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Operasi Benteng yang turut melibatkan anggota tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) telah mengetatkan kawalan di sempadan.

Kata beliau, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu, kerajaan menumpukan kawalan di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan PATI memasuki negara ini.

“Tujuan kita mengetatkan pencerobohan atau pembolosan PATI ini, bagi mengekang jenayah rentas pembolosan sempadan dan menyekat penularan wabak Covid-19.

“Kerajaan juga bertegas akan mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pihak cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai operasi sanitasi awam Covid-19, Ismail Sabri berkata, operasi itu di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dilakukan sejak 30 Mac lalu sehingga semalam.

Kata beliau, mengikut rekod, sebanyak 9,161 operasi sanitasi telah dilakukan melibatkan 134 zon.

“Sebanyak 12,652 premis telah disanitasi, iaitu 2,683 pusat perniagaan, 5,521 bangunan kerajaan, 1,591 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,522 tempat awam dan 354 pasar raya.

“Semalam sahaja, sebanyak 18 operasi sanitasi dilakukan di 13 Zon melibatkan enam negeri termasuk Sabah, Melaka dan Terengganu.

“Operasi sanitasi ini melibatkan 76 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 114 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan beberapa agensi lain,” katanya.

Beliau juga berkata, dari 10 Jun sehingga semalam, Kementerian Kesihatan telah membuat saringan ke atas 13,918 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dari jumlah itu, 13,860 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing, manakala 58 individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Semalam, seramai 630 rakyat Malaysia dari Singapura, Indonesia, India, Nepal, Qatar, UAE, Hong Kong, Ethiopia, Brunei dan Timor Leste telah pulang ke tanah air melalui KLIA dan KLIA2.

“Seramai 624 dari mereka telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman dan enam lagi dibawa ke hospital.

“Polis telah membuat 1,056 pemantauan pematuhan SOP kuarantin di kediaman dan mendapati semua mereka mematuhinya,” katanya. – MalaysiaGazette