Ahmad Murad Merican

KUALA LUMPUR- Rakyat mempunyai hak untuk mengkritik laporan Al Jazeera dalam dokumentari Locked Up di Malaysia’s Lockdown malah media Malaysia seharusnya menggunakan kuasa editorial yang dimilikinya untuk respon kepada laporan yang berat sebelah itu.

Menurut Ahli Akademik, Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican dari Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadunan Islam (ISTAC) di pihak kerajaan terutamanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia, mereka sepatutnya menumpukan kepada perkara yang lebih besar iaitu bagaimana untuk menangkis tuduhan-tuduhan tersebut.

Kerajaan juga sepatutnya memberi gambaran sebenar berasaskan fakta apa yang berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diaktifkan bagi membetulkan semula laporan yang terpesong itu.

Ini katanya, boleh dilakukan dengan kerjasama media-media tempatan.

“Tidak patut Menteri Komunikasi dan Multimedia menghukum media tempatan kerana apa yang penting adalah menangkis tuduhan Al Jazeera terhadap Malaysia.

“Kita perlu menggunakan segala medium untuk menyalurkan maklumat yang benar dan sekali gus membersihkan semula imej Malaysia. Ini yang patut diberi tumpuan.

“Walaupun industri media Malaysia adalah kecil namun kita mesti juga gunakan kuasa editorial untuk menengahkan fakta-fakta yang boleh menangkis sebarang laporan berita yang tidak tepat dan membetulkan gambaran yang telah terpesong,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dikritik susulan tindakan yang dikenakan kepada hos sebuah program di Bernama TV yang mengatakan Al Jazeera patuh ditukar nama kepada Al-Jahiliyah.

Jelas Dr. Murad, pengacara tersebut tidak memaki-hamun atau menggunakan kata-kata kesat ketika membuat kenyataan mengenai Al Jazeera itu.

Tambahnya, apa yang disampaikan oleh hos terbabit iaitu Herleena Pahlavi adalah pendiriannya yang juga menjadi pendirian sebahagian rakyat Malaysia.

“Sebahagian daripada rakyat Malaysia mempunyai pendirian yang sama iaitu mengkritik dan mempersoalkan laporan Al Jazeera yang dilihat berat sebelah. Mereka ada hak.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh hos tersebut saya rasakan adalah bersifat metafora dan beliau tidak menggunakan sebarang perkataan memaki- hamun atau mengeluarkan kata-kata kesat pun.

“Tidak salah rakyat Malaysia atau seorang profesional tempatan mempersoalkan liputan tersebut.

“Istilah yang digunakan juga tidak salah, ianya bukan perkataan maki hamun atau kesat.

“Ia adalah satu reaksi daripada seorang pengacara program berkenaan nilai liputan Al Jazeera. Respon dari sebuah organisasi media kepada organisasi media yang lain,” katanya lagi.

Dr. Murad menegaskan, Herleena tidak patut dikenakan tindakan kerana menyatakan pendiriannya semasa mengacarakan perkara tersebut.

Dalam masa yang sama beliau berpendapat, laporan Al Jazeera perlu ditangkis tetapi bukan sampai mengharamkan agensi berita tersebut beroperasi di Malaysia.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. hahahah.. di panggil untuk penjelasan bukan di hukum..bila di dakwa pun masih belum terhukum lagi..

Comments are closed.