Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengadakan lawatan ke fasiliti Hartasuma meninjau fasa-fasa akhir kerja pemasangan dua set tren di HARTASUMA Sdn Bhd, Pulau Indah, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 09 JULAI 2020.

PELABUHAN KLANG -Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan menambah sebanyak 27 set tren untuk kegunaan LRT Laluan Kelana Jaya sebagai langkah menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, melalui penambahan tren empat gerabak,  kekerapan masa menunggu akan dapat dikurangkan dengan jangkaan dua minit setiap perjalanan untuk laluan Kelana Jaya.  

“Sebenarnya tidak ada masalah tapi nak tambah baik kekerapan LRT Kelana Jaya. Tambah baik ini satu proses yang berterusan jadi pelanggan dapat keselesaan yang terbaik,” katanya selepas membuat lawatan ke fasiliti Hartasuma di Pulau Indah hari ini.

Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada sidang media lawatan ke fasiliti Hartasuma meninjau fasa-fasa akhir kerja pemasangan dua set tren di HARTASUMA Sdn Bhd, Pulau Indah, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 09 JULAI 2020.

Hartasuma ialah syarikat yang bertanggungjawab membekalkan 27 set tren kepada Prasarana.

Tajuddin seterusnya berkata, sebanyak RM1.7 billion dibelanjakan untuk menambah dan menyelesaikan proses pemasangan kesemua tren terbabit.

Projek pemasangan dinamakan Kuala Lumpur Additional Vehicle (KLAV27).

Sebanyak 35 peratus proses pemasangan akan dibangunkan oleh pihak tempatan di Hartasuma, di mana ia akan memaksimumkan penggunaan tenaga dalam negara.

Kata beliau, ini merupakan  usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar dan seterusnya mengurangkan aliran keluar mata wang negara.

“Ini termasuklah kerja-kerja pemasangan dalaman tren, ujian tren statik dan perolehan tempatan seperti sistem lantai, panel, lampu, dan stanchion (sistem pemegang di dalam tren).

“Seterusnya ini akan dapat membangunkan teknologi, industri dan ekonomi tempatan secara keselurahan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan daya saing negara dalam pasaran global,” katanya lagi.

Dijangkakan dua tren daripada 25 kesemuanya akan mula digunakan Disember ini manakala selebihnya dipasang secara berperingkat sehingga Febuari 2023.-MalaysiaGazette