Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

BUKIT MERTAJAM – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dijumpai mati selepas dipercayai terjatuh dari sebuah pangsapuri di kawasan Perai Indah sini hari ini, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Shafee Abd Samad.

Katanya, pihak polis dihubungi pada 1.57 tengah hari tadi memaklumkan terdapat mayat remaja perempuan terjatuh di pangsapuri berkenaan dan hasil siasatan mendapati mangsa adalah anak sulung daripada dua beradik dan masih bersekolah di tingkatan tiga.

“Temu bual yang dilakukan dengan keluarga mangsa mendapati dia seorang yang sangat sensitif, remaja itu sepatutnya menyambut upacara (mencapai) akil baligh namun disebabkan ibunya yang bekerja di Singapura tidak dapat pulang majlis itu terpaksa dibatalkan dan ia membuat mangsa sedih,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa dan adik perempuannya tinggal bersama ibu serta bapa saudara mereka di pangsapuri berkenaan manakala bapanya bekerja di sebuah hotel di bahagian pulau negeri ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan polis  mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette