Naya Rivera.

AMERIKA SYARIKAT – Bekas pelakon drama bersiri Glee, Naya Rivera dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas anaknya dijumpai bersendirian di atas sebuah bot di sebuah tasik di Selatan California, Amerika Syarikat semalam.

Naya, 33, yang ditemani anaknya Josey Hollis Dorsey berusia empat tahun menyewa sebuah bot di Tasik Piru, Taman Negara Los Padres.

CBS Los Angeles melaporkan, pegawai Balai Polis Daerah Ventura, Eric Buschow berkata, Naya menyewa bot berkenaan kira-kira pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) untuk ke Tasik Piru yang terletak kira-kira 50 batu di Utara pusat bandar Los Angeles.

Kira-kira tiga jam kemudian, seorang pemilik bot menemui anaknya tidur dalam bot sendirian.

Individu terbabit membuat laporan polis sebelum pencarian orang hilang dilakukan menggunakan helikopter, dron dan pasukan penyelam.

Bagaimanapun, Buschow berkata, tiada sebarang perbuatan jenayah dikesan ketika ini dan kes mungkin boleh disifatkan sebagai lemas.

Nama Naya dikenali bermula selepas dia menjayakan watak Santana Lopez, seorang pasukan sorak melalui komedi muzikal arahan Ryan Murphy.

Drama berkenaan bersiaran dari 2009 hingga 2015 dan Glee dicalonkan sebanyak 32 kali untuk Anugerah Emmy dan sembilan Golden Globe.

Naya yang membuat kemunculan dalam 113 episod dicalonkan untuk Anugerah Grammy bersama pelakon gandingannya Mark Salling – yang membunuh diri pada 2018 selepas mengaku tidak bersalah atas dakwaan berhubung imej penderaan seksual kanak-kanak.

Salling, 35, yang menjayakan karakter Puck dalam Glee dijatuhkan hukuman kerana memiliki 50,000 gambar penderaan seksual kanak-kanak ketika kematiannya. – MalaysiaGazette