KUALA LUMPUR – Kerajaan hanya membenarkan murid yang sihat sahaja kembali ke asrama sekolah sempena dengan pembukaan menyeluruh sesi persekolahan minggu depan.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, walaupun Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP telah meneliti dan bersetuju dengan pembentangan Kementerian Pendidikan mengenai garis panduan pengurusan asrama sekolah, namun beberapa SOP perlu dipatuhi.
Kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu, setiap murid perlu menjalani saringan kesihatan ketika pendaftaran masuk ke asrama.
“Manakala katil mereka dijarakkan satu meter antara satu sama lain dan bahagian bawah katil dua tingkat sahaja digunakan.
“Tanda penjarakan satu meter disediakan untuk murid beratur bagi semua bilik khas yang bersesuaian seperti tandas, bilik air atau mandi, bilik cuci, bilik gosok dan pantri.
“Mereka juga disediakan jadual penggiliran waktu makan di dewan sekiranya perlu serta alat pengimbas suhu badan perlu disediakan di asrama,” katanya pada sidang media khas Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, bagi pengurusan dewan makan asrama, hanya sajian makanan bufet, berhidang secara individu atau berbungkus sahaja dibenarkan.
Sekiranya terdapat murid bergejala, pihak pentadbiran perlu mendapatkan nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga untuk membawa pulang murid berkenaan.
Katanya, murid yang bergejala juga perlu diletakkan di bilik sakit atau kesihatan dan diasingkan daripada murid sakit yang lain.
“Sebagai langkah keselamatan, Kementerian Kesihatan akan menjalankan ujian saringan Covid-19 secara rawak di asrama. Garis panduan ini juga digunapakai di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
“Pelajar Tingkatan 4 dibenarkan pulang ke asrama bermula 15 Julai ini, manakala pelajar tingkatan lain bermula 3 Ogos.
“Bagi asrama di sekolah rendah khususnya di kawasan pedalaman, pelajar Tahun 5 dan 6 juga dibenarkan pulang ke asrama pada 15 Julai ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, mengenai had maksimum majlis agama, sosial dan rasmi, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mempertimbangkan semula had maksimum 250 peserta atau pengunjung bagi majlis itu.
Ini katanya, turut melibatkan majlis rasmi seperti mesyuarat, perhimpunan, latihan serta jemaah masjid, surau dan rumah ibadah bukan Islam.
Mengenai pusat hiburan, beliau menegaskan, operasi pub, disko dan kelab malam masih tidak dibenarkan.
Bagaimanapun, kerajaan bersetuju untuk membenarkan pembukaan semula pusat hiburan keluarga setelah meneliti pembentangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Keputusan itu, ujar beliau, dibuat setelah mengambil kira lebih 3,000 tenaga kerja yang terlibat serta sumbangan RM500 juta kepada pendapatan negara.
“Kelulusan ini melibatkan arked permainan, taman Funfair Indoor, hiburan pendidikan, gym permainan kanak-kanak, hiburan permainan berasaskan peralatan mesin dan hiburan teknologi serta pusat karaoke keluarga.
“Antara SOP Am yang telah ditetapkan ialah setiap mereka mesti memuat turun aplikasi MySejahtera bagi proses pendaftaran, saringan suhu badan, menghadkan jumlah pengunjung berdasarkan saiz premis dan penjarakan sosial, penjualan tiket atas talian digalakkan dan pembersihan serta disinfeksi secara berskala,” katanya. – MalaysiaGazette
















