Malaysia Airlines menerima 11 kelulusan ATR.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) dan Japan Airlines mengumumkan perkongsian perniagaan bersama, yang menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan dalam penerbangan antara Malaysia dan Jepun.

Program itu akan dilancarkan pada 25 Julai ini – satu inisiatif itu akan menyaksikan Malaysia Airlines dan Japan Airlines meningkatkan kemampuan dan memanfaatkan kekuatan masing-masing.

Malaysia Airlines meneruskan penerbangan ke Jepun mulai Julai, kedua-dua syarikat penerbangan itu akan menawarkan empat perkhidmatan mingguan antara Kuala Lumpur dan Tokyo Narita pada bulan Julai dan Ogos.

Dalam kenyataan bersama, Malaysia Airlines dan Japan Airlines berkata, kedua-duanya perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu dengan pengubahsuaian pada penawaran di darat dan di dalam pesawat serta proses dan prosedur dari daftar masuk dan menaiki kapal terbang untuk memenuhi standard keselamatan dan kesihatan tertinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata, kerjasama itu akhirnya dilaksanakan selepas beberapa bulan tertangguh disebabkan peraturan perjalanan antara kedua-dua negara.

”Kami menantikan perbincangan dua hala antara kerajaan Malaysia dan Jepun untuk mewujudkan gelembung perjalanan antara kedua negara, yang akan melonggarkan sekatan untuk perjalanan rentas sempadan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Japan Airlines, Yuji Akasaka berkata, kerjasama ini membolehkan kedua-dua syarikat penerbangan memastikan pematuhan standard tertinggi dalam keselamatan dan kebersihan untuk ketenangan hati pelanggan bersama.

Malaysia Airlines dan Japan Airlines adalah ahli sekutu Oneworld. – MalaysiaGazette