Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meluluskan bantuan khas berjumlah RM600 kepada 35,000 pemandu bas sekolah yang layak di seluruh negara.

Bantuan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM21 juta, merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Rangsangan Prihatin Rakyat (Prihatin) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri sebagai usaha kerajaan dalam berdepan krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, bantuan ini akan diberikan kepada pemandu-pemandu bas sekolah di seluruh negara yang memegang lesen memandu sah dan memandu kenderaan daripada pengendali bas berdaftar.

”Antara kumpulan yang mendapat perhatian Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ialah pengendali bas sekolah menerusi pelbagai langkah bagi membantu mereka berdepan waktu sukar.

”Pada 14 Mei 2020, saya sendiri telah berdialog dengan beberapa persatuan pengendali bas sekolah untuk mendapatkan maklum balas mereka seterusnya membuat tindakan susulan sewajarnya. Hari ini, Setiausaha Politik saya telah bertemu dengan mereka untuk meneruskan hubungan dengan pengendali bas sekolah seterusnya dapat menyelesaikan permasalahan berbangkit dalam industri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ka Siong menambah, kaedah pembayaran akan diumumkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), iaitu agensi di bawah MOT yang bertanggungjawab menyalurkan bantuan tersebut. – MalaysiaGazette