KUALA LUMPUR – Kejohanan eMalaysian Football League (eMFL) hampir menutup tirai dengan tumpuan pasti terarah kepada persaingan sengit yang cukup mendebarkan antara tiga pemain di kelompok teratas.

Muhammad Imran Burhanudeen atau Imrandeen mewakili pasukan Kedah masih kekal di tangga teratas diikuti Luqman Haziq Hajiman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Muhammad Faiz Hariry (Terengganu FC) dengan masing-masing mengumpul sebanyak 34 mata dan dibezakan dengan jumlah jaringan.

Berbaki empat lagi perlawanan, pastinya ia akan menjadi pertarungan yang cukup sengit apabila masing-masing tidak boleh leka dalam setiap perlawanan kerana setiap mata pasti cukup berharga.

Luqman Haziq sememangnya nama yang tidak asing dalam arena sukan FIFA, tetapi ranking nombor satunya di Malaysia tidak menmberi laluan mudah untuknya menjadi juara dalam kejohanan ini.

Tetapi, pujian harus diberikan kepada usaha Imrandeen yang bermula agak perlahan pada awal saingan untuknya terus melakar kejutan dalam setiap perlawanan sekali gus menenggelamkan pencabar lain untuk berada di takhta liga setakat ini.

Apa yang perlu dilakukan oleh pemain berusia 22 tahun ini adalah memastikan tiada kesilapan yang berlaku dalam perlawanan seterusnya kerana peluang masih lagi terbuka untuk pencabar yang berada di kedudukan keempat dan kelima untuk mengejar apabila mereka hanya dibezakan dengan dua mata.

Faiz atau Favlain tidak kurang hebatnya untuk menjadi duri dalam daging dalam setiap perlawanan kerana terus memberi tekanan bagi perebutan kejuaraan dan tidak mustahil mampu melakar kejutan untuk berada di kedudukan teratas.

Walaubagaimanapun, empat perlawanan terakhir ini akan menjadi penentu untuk memastikan mereka tidak tercicir mata atau mereka harus berdepan realiti bahawa kedudukan teratas mampu dirampas kembali oleh pencabar lain selepas ini.

“Semakin dekat dengan hari terakhir, semakin saya rasa gusar, tetapi saya tidak boleh hilang fokus kerana tinggal beberapa langkah sahaja lagi untuk menjadi juara.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk mengumpul mata dalam empat perlawanan terakhir ini walaupun sedar apa apa sahaja boleh berlaku,” kata Luqman.

“Walaupun saya di tempat kelima ketika ini, tetapi jurang mata tidak jauh dengan yang lain untuk saya kembali berada di atas.

“Misi saya adalah untuk memastikan kemenangan berharga mampu menjadi milik Kedah kerana perlawanan hanya tinggal empat sahaja dan InsyaAllah saya akan buat yang terbaik,” jelas Ayen yang mewakili pasukan PDRM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast