Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Seorang migran warga Bangladesh Md. Rayhan Kabir, 25, yang dikehendaki membantu siasatan dokumentari Al Jazeera yang memburukkan Malaysia diminta supaya berani tampil untuk mempertahankan kenyataannya seadilnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya masih mencari dan cuba menjejaki individu berkenaan yang menghilangkan diri tanpa khabar sehingga hari ini.

Md. Rayhan mencetuskan kontroversi dan kritikan awam menerusi dokumentari berkenaan dengan mendakwa migran asing dilayan seperti binatang oleh pihak berkuasa Malaysia semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Abdul Hamid berkata, individu berkenaan tidak wajar bersembunyi sebaliknya beliau perlu tampil menjejaskan kenyataannya yang memberi tanggapan negatif di khalayak antarabangsa.

Katanya, pihak polis telah berjaya mengensai alamat individu berkenaan namun beliau telah menghilangkan diri.

Katanya, dia tidak perlu takut sekiranya bercakap benar dan boleh tampil mempertahankan kenyataannya sementara polis sedia memberi perlindungan dan kerjasama yang adil.

“Video dokumentari itu jelas ada unsur hasutan selepas disiasat Jabatan Peguam Negara tetapi dia pula lari hilangkan diri. Tetapi polis sudah uar-uarkan menerusi rakan-rakan kenalan untuk tampil ke hadapan menyelesaikan kes dengan cepat yang mana polis dan undang-undang akan membela dia.

“Kalau dia rasa apa yang dia cakap adalah benar, biar tampil kepada polis sebab saya nak dengar daripada dia episod mana dikatakan polis layan mereka (migran) seperti haiwan atau binatang semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan.

“Kita tunggu, mana dia nak lari lagi dan berapa lama dia nak hilangkan diri dari polis, sila tampil ke depan demi keselamatan,” katanya dalam Sidang Media Khas di Bukit Aman.

Ditanya sama ada warga asing itu mungkin diajar oleh seseorang dalang untuk bercakap demikian sebagai memburukkan penguatkuasaan PKPD mencegah Covid-19, Abdul Hamid berkata, semua pihak perlu berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh membawa tempias dan kritikan dalam kalangan awam di negara ini.

“Sesiapa sahaja cakap tanpa fakta, perlu lebih berhati-hati, kalau takde fakta buat apa nak buka mulut kita dan buat tuduhan tak berasas sehingga menyakitkan hati semua orang.

“Kita minta kerjasama individu itu supaya tampil segera bekerjasama dengan polis untuk selesaikan kes ini, saya sendiri mahu dengar daripadanya bahagian mana dia sifatkan warga asing dilayan seperti binatang.

“Saya sudah menegaskan kepada anak buah dan pasukan saya, sebarang penguatkuasaan dipastikan dengan layanan yang adil untuk rakyat tempatan dan juga warga asing secara sama rata dan hormati hak asasi manusia tanpa sepak, gari sebagainya dan saya bangga anggota dan pegawai saya bertugas cemerlang sepanjang mengawal pergerakan rakyat ketika PKP  hingga sekarang untuk mencegah Covid-19,” tegasnya.

Malah semasa PKPD, PDRM dan tentera yang menyekat pergerakan masyarakat bagi memastikan penduduk tempatan mahupun warga asing tidak tercicir menjalani saringan Covid-19 dan segala bantuan kebajikan untuk mengelak jangkitan virus.

Ujarnya warga asing yang ditahan telah dibawa ke rawatan di hospital sementara Covid19 di MAEPS yang diberi layanan kelas dunia dengan makanan sihat.

“Saya terkejut dikatakan dilayan seperti binatang ini selah era tabir besi perang dingin menyekat rakyat beri persepsi salah oleh warga Bangladesh itu.

“Dia tidak tahu langkah PKPD ATM dengan kawat duri itu bertujuan memastikan takde seorang pun keluar dari situ sebelum disaring dan ditentukan identiti yang melibatkan warga tempatan juga,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Penerbit, editor, wartawan Al Jazeera yang membuat FAKE NEWS, sabit kesalahan WAJIB dipenjara MANDATORI!

    Tunjukkan kepada dunia yang negara ini punyai kedaulatan, rule of law!

Comments are closed.