GENEVA – Penyelidikan berkaitan asal usul Covid-19 di China yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat (AS).

Hakikatnya ia merupakan sokongan yang tidak disangka-sangka memandangkan sebelum ini AS sudah ‘bertegang urat’ dengan WHO dalam menangani pandemik berkenaan sebelum ini.

Malah Presiden AS, Donald Trump bertindak memutuskan sokongan negara itu dengan WHO sekaligus bantuan kewangan yang disalurkan negara itu selama ini terutamanya kepada Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

AS juga merupakan penderma tertinggi di dunia kepada agensi kemanusian tersebut selama ini.

Dakwa Trump, WHO sebenarnya tidak lebih daripada ‘boneka’ China dalam isu Covid-19 malah langsung tidak efisyen dalam memerangi penularan ke seluruh dunia.

AS secara rasmi mulai menarik diri daripada WHO pada Selasa lepas.

Agensi melaporan, Duta Besar AS, Andrew Bremberg berkata, pihaknya mengalu-alukan penyelidikan WHO ketika ini.

Kata Bremberg, AS berharap pihak berkuasa China sedia menawarkan akses penuh data,sampel dan lokaliti kepada pasukan saintis dan menantikan laporannya tepat pada masanya.

“Kami melihat penyelidikan ilmiah sebagai langkah yang perlu supaya mendapat pemahaman yang lengkap dan telus mengenai bagaimana virus ini boleh menjangkiti ke seluruh dunia.

“Harap China akan beri akses penuh,” katanya semalam waktu tempatan.

Semalam dilaporkan seorang ahli epidemiologi dan pakar kesihatan haiwan dari WHO pergi ke China untuk cuba dan mengenal pasti punca haiwan yang mengakibatkan wabak coronavirus baharu itu.

WHO mendedahkan pasukan pakarnya akan berada di Beijing pada hujung minggu bagi membolehkan misi penyelidikan di lapangan lebih meluas bertujuan mengenal pasti bagaimana virus itu dari haiwan menjangkiti manusia.

Setakat ini, pandemik mengorbankan sekurang-kurangnya 556,000 nyawa dan menjangkiti lebih daripada 12.4 juta orang sejak ia muncul di China pada Disember lalu.

Pakar dan saintis percaya virus pembunuh itu berasal dari pasar hidupan liar di bandar Wuhan yang menjual haiwan eksotik untuk hidangan. –MalaysiaGazette