Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Berlaku penambahan satu kes kematian akibat Covid-19 pada hari ini iaitu selepas 26 hari sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan yang maut sebanyak 122 kes.

Kali terakhir kes kematian direkodkan di negara ini akibat pandemik itu adalah kes ke-121 yang direkodkan pada 14 Jun lalu membabitkan Orang Kena Tahan (OKT) di Depoh Tahanan Imigresen di Bukit Jalil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata,  terdapat lapan kes jangkitan baru dilaporkan hari ini dan empat daripadanya merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Kes kematian ke-122 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis. Beliau mendapatkan rawatan tradisional beberapa kali sejak 3 Julai dan kemudiannya pergi ke sebuah hospital swasta pada 9 Julai.

“Beliau segera dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak setelah disyaki positif Covid-19 dan kemudiannya disahkan positif virus itu. Kesihatan beliau terus merosot dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Pesakit disahkan meninggal dunia pada 10 Julai 2020 jam 5.49 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, KKM ingin memaklumkan bahawa persampelan pra pembedahan merupakan salah satu sistem survelan yang dijalankan di Malaysia.

“Ia adalah bertujuan untuk mengesan awal jangkitan Covid-19 di kalangan komuniti dan seterusnya memberi amaran awal kepada pihak KKM untuk bertindak,” katanya lagi.

Menurut Noor Hisham, survelan itu dijalankan ke atas populasi yang besar dan ia meliputi lapisan masyarakat yang tidak bergejala.

Individu yang perlu menjalani pembedahan bagi kes kecemasan dan separa kecemasan di hospital KKM perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 terlebih dahulu.

Sehingga semalam, sebanyak 60,952 sampel pra pembedahan telah diambil dan daripada jumlah tersebut, 21 kes telah didapati positif Covid-19 (iaitu kadar positif adalah 0.03 peratus).

Peratusan kes positif kekal rendah meskipun jumlah persampelan yang tinggi menunjukkan penularan Covid-19 adalah terkawal di dalam negara.

Sistem survelan yang dinamik ini merupakan proksi yang bagus
untuk mengambarkan penularan jangkitan Covid-19 di
kalangan masyarakat di Malaysia.

“Ini adalah kerana ia meliputi semua kelompok masyarakat dan dijalankan ke atas individuindividu yang tidak bergejala. Pihak KKM akan terus memantau kes-kes Covid-19 di dalam komuniti dan memastikan kes dikesan awal dan penularan jangkitan Covid-19 dapat dibendung,” ujarnya.- MalaysiaGazette