Usaha membawa pulang Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil sentiasa dipergiatkan oleh PDRM.

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil yang sedang diburu Polis Diraja Malaysia dalam siasatan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta dikesan tinggal di Hong Kong.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasukan penyiasat khas kes itu telah berjaya mengesan kedudukan terbaharu Nik Faisal hasil risikan dan surat notis merah telah dikeluarkan kepada kerajaan Hong Kong untuk membantu mendapatkan individu itu.

Katanya, PDRM turut menulis surat kepada pihak berkuasa polis Hong Kong untuk membantu menahan Nik Faisal bagaimanapun kesal menerima jawapan negatif dari pihak berkuasa itu.

“Kita telah banyak buat permintaan dengan pelbagai cara tambahan lagi kita beri butiran tertentu. Tapi maklum balas kita terima daripada mereka (polis Hong Kong) negatif iaitu tidak betul.

“Itu antara kekangan yang dihadapi PDRM dalam usaha untuk membawa balik dia iaitu Nik Faisal,” katanya dalam Sidang Media Khas di Bukit Aman petang ini.

Tambah beliau, walaupun hasil risikan dan maklumat terbaharu kedudukan Nik Faisal dibalas dengan jawapan tidak menggalakkan oleh Hong Kong, PDRM tidak berputus asa untuk mencari individu itu walaupun tahu kedudukannya memang di Hong Kong.

Ujar beliau,walaupun maklumbalas negatif dari pihak berkuasa Hong Kong, pihaknya secara berterusannya menghantar notis baharu termasuk maklumat terkini kedudukan isteri dan anak Nik Faisal juga di negara terbabit bagi menguatkan permohonan untuk membawa pulang individu berkenaan.

“Nik Faisal juga tersenarai dalam pelarian ada dalam senarai notis merah Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol).

“Kita telah membuat permintaan pelbagai cara, dan notis merah dikeluarkan jadi menjadi tanggungjaeab polis disana, ada maklumat terbaharu, anak dan isteri ada di sana, takkan anak dan isteri (Nik Faisal) dari Indonesia ke sana buat apa kalau tiada tujuan, jadi maklumat terbaharu kita telah berikan, kita tunggu kerjasama polis Hong Kong harap tidak dinafikan lagi sewenang-wenangnya,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hamid turut memaklumkan hubungan kerjasama dua hala PDRM dan Polis Hong Kong tidak seerat 20 tahun lalu.

Menurut beliau, sebelum ini kerjasama PDRM dengan pihak berkuasa Hong Kong cukup baik dan sangat rapat dalam menyelesaikan isu-isu jenayah rentasi sempadan dan perkongsian maklumat risikan berkaitan keganasan.

Namun kebelakangan ini, kerjasama itu nampak sukar termasuk isu melibatkan Nik Faisal dan beberapa individu yang diburu termasuk penjenayah, Jho Low yang menyeleweng dana IMalaysia Development Berhad (1MDB).

“Kita dengan pihak berkuasa Hong Kong sebelum ini sangat rapat sampai kita setiap tahun ada perlawanan ragbi, begitu juga dengan kerjasama melibatkan kes-kes jenayah, tapi kebelakangan ini susah sangat, tak tahu kenapa dalam kes ini mereka (Hong Kong) nampak liat sangat,” katanya.

Pun begitu Abdul Hamid berkata ia tidak mematahkan semangat pasukannya dalam terus memburu penjenayah dikehendaki itu iaitu Jho Low walaupun licik dan bertukar negara.

“Jho Low buruan nombor satu dalam negara dan PDRM usaha ini tidak ada saya longgarkan atau perlahankan tindakan yang mana kita akan terus memburu sebab wang yang diambil, dicuri adalah besar sekali.

“Selain dua penjenayah di atas, beberapa individu lain juga sedang diburu dan bebas berada di negara tertentu iaitu empat, lima yang saya tahu dimana mereka berada, tapi kita tak boleh nak ambil mereka sebab kekangan tertentu, mereka boleh ulang alik dekat Kampuchia, Thailand, Macau dan Hong Kong.

“Saya terus berusaha gigih bagi memastikan dan terus mengorek, harta yang yang masih tersembunyi di negara kita,” tegasnya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Hamid Bador kena fikirkan apa pentingnya dasar hubungan luar negara antara Jabatan Polis serantau, atau tiada keuoayaan, sila letak jawatanlah. Kerusi IGP not just for sitting only.

  2. Betul ke susah nak tangkap…. Atau gebang je..polis mana2 negar pun tak sukaa simpan penjenayah dlm negara mrk..apakata kalau tak blh buat keje bg kat org lain buat keje jgn membazirkan duit rakyat..

Comments are closed.