Lima PATI yang ditahan di Kampung Punggai, Kota Tinggi, Johor ketika cuba menaiki bot untuk membawa mereka balik ke Indonesia.

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas pasukan Rejimen Ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) telah berjaya menangkap lima pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia berusia 23 hingga 40 tahun.

Pasukan bertindak hasil maklumat dari Sistem Pengawasan Radar Kenderaan Perisai GEMPITA oleh Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD) yang telah mengesan sebuah bot menghampiri Kampung Gambut Punggai, Kota Tinggi.

Satu kumpulan dari 61 RAD dari Pos Tanjung Sepang telah digerakkan membuat rondaan keselamatan di sekitar Kampung Punggai telah terserempak dengan sebuah bot yang mencurigai pada jarak 50 meter dari pantai dipercayai digunakan untuk membawa PATI.

Tangkapan itu dibuat pada jam 4 pagi tadi.

Hasil pemeriksaan telah berjaya menahan lima PATI yang masih bersembunyi di dalam semak sekitar kawasan tersebut dipercayai sedang menunggu untuk menaiki bot.

Selain tangkapan, pihak tentera turut merampas telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM12,000.

Kesemua PATI akan diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian Covid-19. – MalaysiaGazette