Sebahagian anggota bomba menjalankan operasi nyahkuman di bangunan PArlimen. foto FB Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR – Blok Utama Parlimen yang menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah selesai dijalankan operasi sanitasi oleh Pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Parlimen Malaysia melalui status di Facebook memberitahu, operasi itu membabitkan 40 anggota bomba diketuai oleh PgKB I Khairul Azuwan Ibrahim.

Bermula jam 10 pagi esok, Dewan Rakyat akan bersidang hingga 27 Ogos ini.

Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsikan operasi nyahkuman itu dijalankan di dalam kedua-dua dewan, tangga dan lobi.

Kerja-kerja operasi sanitasi Parlimen dijalankan oleh Pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. foto FB Parlimen MalaysiaSebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  memaklumkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meluluskan prosedur operasi standard pelaksanaan persidangan Parlimen dengan pematuhan pemakaian pelitup muka, penyediaan cecair pembasmi kuman dan penjarakan sosial satu meter tempat duduk semasa persidangan.

Hanya Ahli Parlimen dan pegawai sahaja dibenarkan masuk di dewan.

Manakala petugas media dan penjawat awam dibenarkan berada di bangunan Parlimen.

Sebelum memasuki Parlimen, mereka masuk perlu mendaftar dengan aplikasi MySejahtera dan melakukan saringan suhu badan.

Selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, Parlimen ditutup kepada orang awam sehingga 31 Ogos ini. – MalaysiaGazette