Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor sah dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang baharu selepas menang tanpa bertanding pada kongres luar biasa badan induk berkenaan di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Bagi jawatan naib presiden, turut menang tanpa bertanding pada pemilihan itu adalah legenda skuad Hijau Kuning era 1980an dan 1990an, Radhi Mat Din.

Mereka dipilih oleh 36 ahli gabungan KFA yang menghadiri kongres berkenaan.

Jawatan presiden KFA sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir manakala Anas Hafiz Mustaffa sebagai naib presiden.
Mereka melepaskan jawatan masing-masing susulan peralihan kepimpinan kerajaan negeri baru-baru ini.

Satu lagi jawatan yang kosong iaitu setiausaha kehormat susulan peletakan jawatan penyandangnya, Asmirul Anuar Aris bagaimanapun belum diisi.

Sanusi dijangka mengumumkan penyandang baharu dalam tempoh terdekat. – MalaysiaGazette