Gambar hiasan

BANGKOK – Seorang pelatih monyet di selatan Thailand menafikan dakwaan menggunakan monyet untuk memetik buah kelapa bagi tujuan eksport.

Nirun Wongwanich, 52, yang melatih monyet untuk mengambil kelapa di sebuah “sekolah monyet” di wilayah Surat Thani, berkata, kebanyakan kelapa yang digunakan untuk eksport dipetik dengan menggunakan tenaga manusia.

Hanya beberapa ladang di selatan Thailand sahaja yang menggunakan monyet untuk memanjat pokok kelapa yang lebih tinggi, katanya yang mempertikaikan laporan aktivis yang telah menyebabkan beberapa pasar raya Britain melarang produk kelapa dari Thailand.

“Adalah tidak benar. Saya bersama monyet selama lebih dari 30 tahun … saya mempunyai ikatan, hubungan dengan haiwan tersebut, “kata Nirun kepada Reuters sambil menambah dia melatih enam hingga tujuh monyet setahun.

Awal bulan ini beberapa peruncit Britain menarik produk kelapa Thailand setelah laporan oleh People for Ethical Treatment of Animals (PETA) mendakwa kelapa yang dipetik di Thailand dilakukan oleh monyet.

PETA yakin hampir semua kelapa dari Thailand dipetik oleh monyet.

Bagaimanapun, Kerajaan Thailand menafikan dakwaan PETA dan menyatakan penggunaan monyet sebagai buruh hampir tidak wujud.

Malah, Timbalan Menteri Pertanian Thailand, Mananya Thaiset berkata, 200,000 penanam kelapa menggunakan buruh manusia dan mesin semasa tuaian.

“Meskipun menggunakan semua monyat di dalam seluruh hutan masih belum mencukupi untuk industri ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette