Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersidang pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memaklumkan pandemik Covid-19 telah menimbulkan suasana sukar kepada rakyat selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac hingga 31 Mac lalu.

Oleh itu, kerajaan perlu bertindak pantas dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat dan komuniti perniagaan untuk meneruskan kelangsungan hidup dan operasi

”Di seluruh negara rakyat tahu dalam situasi yang amat sukar dan sulit itu kerajaan tiada pilihan.

“”Di luar sana rakyat menunggu. Mereka tak boleh tunggu sesi parlimen. Mereka nak  bantuan sekarang dan disampaikan sekarang.

”Saya sendiri berpendapat tindakan segera mesti diambil walaupun sebelum sesi Parlimen.,” kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) yang menuntut Muhyiddin menjelaskan mengapa kerajaan tidak membahaskan pelan pemulihan ekonomi di Dewan Rakyat.

Anwar berhujah, dengan membahaskannya di Parlimen, rakyat akan lebih jelas dengan tindakan yang akan dilakukan oleh kerajaan.

”Saya mahu Perdana Menteri menjelaskan mengapa halang pembahasan berlaku,” soalnya.

Muhyiddin yang sudah menjangka soalan itu berkata, kerajaan perlu mengambil langkah segera berbanding menunggu sesi sidang Dewan Rakyat bermula.

Pada akhir Mac lalu Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang bertujuan melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.

Selepas itu, Muhyiddin mengumumkan pula Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan) bernilai RM10 bilion untuk memastikan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat meneruskan operasi mereka dan mengurangkan risiko pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

Kerajaan juga mengumumkan bantuan RM35 bilion dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Tambah beliau, walaupun kerajaan mengumumkan peruntukan berbilion ringgit dalam Pakej Rangsangan Prihatin Rakyat  dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara namun kerajaan memastikan peruntukan dari sumber dalaman tidak mencecah ‘bumbung’.

Menjawab kegusaran Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) tentang kadar pengangguran di Sabah, Muhyiddin berkata, pelan-pelan bantuan yang diagihkan bertujuan memang bertujuan membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, gangguan yang disebabkan oleh Covid-19 telah menyebabkan kadar pengangguran meningkat.

Katanya, Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan kadar pengangguran naik 5.5% kepada 720,000 dan dijangka angka itu meningkat kepada 860,000 pada akhir tahun.

“Ini bukan berita gembira kepada kerajaan. Persoalannya apa yang harus kita lakukan?

“Sebab itu, kerajaan segera melaksanakan subsidi gaji, moratorium dan lain-lain untuk memastikan kadar pengangguran tidak terus meningkat,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. TSM you have done the right thing. I am pretty sure the vast majority of the Malaysian population is behind you. Supporting in whatever decision you make. We have great trust in your way of handing the crisis situation in the country. I believe the country is in good hands.Keep up the good work! Conversely, people were worried when it was under the PH government. During the 22 months under PH, it was sliding back in every aspect of development. May God be with you and your ministers. May God also make Malaysia prosper economically and strengthen its race integration, ameen!

  2. syabas TSMY! Jawapan yang mantap.. Jangan semua tunggu kelulusan parlimen untuk bantu rakyat.

Comments are closed.