azeez rahim Rahim forfeiture corruption
Abdul Azeez Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim hari ini diminta menarik balik perkataan ‘gelap’ yang diucapkan ketika Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kashturi Patto mempersoalkan tentang senarai ahli Jawatankuasa Pemilih Parlimen Malaysia.

Kasthuri bangun sebaik sahaja Speaker Dewan Rakyat yang baharu, Azhar Azizan Harun selesai membacakan nama-nama ahli yang dicadangkan menganggotai jawatankuasa tersebut dan mempertikaikan mengapa tiada nama wanita.

“Tidak cukup baguskan ahli-ahli Parlimen wanita, dalam Pakatan Harapan dahulu ada Yang Berhormat Pandan (Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail),” soalnya.

Azeez yang bersuara selepas Kasthuri membangkitkan isu ketiadaan wakil wanita itu berkata: “Sebab gelap tak nampak.”

Menjawab soalan Kashturi, Azhar berkata, usul tersebut belum dibuka untuk dibahaskan dan isu ketiadaan wakil rakyat wanita boleh diusulkan semasa perbahasan.

Sebaik sahaja usul dibuka untuk dibahaskan, Ahli Parlimen DAP Jelutong, RSN Rayer bangun membaca Peraturan Mesyuarat meminta supaya Azeez menarik balik perkataan gelap yang disifatkan sebagai sexist dan offensive.

Azeez yang bangun menjawab tuduhan itu berkata, untuk apa beliau menarik balik perkataan tersebut sedangkan beliau sendiri gelap dan perkara tersebut tidak sepatutnya dijadikan isu.

Kasthuri dan beberapa ahli Parlimen pembangkang bangun dan mendesak Azeez menarik balik perkatan gelap serta meminta Azhar membuat ketetapan tentang penggunaan perkataan tersebut.

Seorang ahli Parlimen kerajaan mencelah: “Kalau gelap pakai bedak, baru nampak.”

Mendengar perkataan tersebut, Kasthuri melahirkan rasa tidak puas hati dengan perkataan tersebut dan mempersoalkan mengapa semua ahli Parlimen wanita Perikatan Nasional mendiamkan diri.

Ahli Parlimen Barisan Nasional Tanjung Karang, Datuk Noh Omar bangkit bangkit dan bertanya kepada Speaker adakah selepas ini perkataan gelap tidak boleh digunakan di dalam Dewan Rakyat.

Pertanyaan Noh itu disahut oleh Kasthuri yang mengaitkan penggunaan perkataan gelap itu dengan niat si penutur.

Azeez kemudian menarik balik perkataan tersebut namun tindakannya itu gagal menenangkan dewan sehingga menyebabkan Azhar memutuskan perbahasan usul jawatankuasa pemilih ditutup kerana tiada siapa mengambil bahagian.

Usul kemudian diluluskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan bangun mencadangkan supaya persidangan dewan ditangguhkan sehingga pukul 10 pagi esok. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.