Speaker of Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 13 JULY 2020. nominate PM Prime Minister Agong declaration letter
Speaker of Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 13 JULY 2020.

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Azhar Azizan Harun menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mendahulukan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dalam sidang Parlimen kali ini.

Menurut beliau, ini kerana ia telah diputuskan terlebih dulu oleh bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

“Saya tak ada kuasa untuk mengangkat (mendahulukan usul terbabit). Ia telah diputuskan oleh Speaker sebelum ini,” katanya ringkas dalam sidang media pertamanya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Usul demikian dibawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dikemukakan pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Berdasarkan kepada Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat esok, usul itu berada di tangga ke-27 pada kertas aturan mesyuarat.

Usaha pembangkang untuk membawa usul tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei gagal selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan hanya urusan kerajaan akan diutamakan dalam sidang selama sehari itu.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, urusan lain yang tertunggak seperti usul anggota Parlimen yang tidak sempat dibahas akan dibawa ke sidang seterusnya bermula hari ini.

Pada awal Mei lalu, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat ketika itu, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan menerima usul tersebut daripada Mahathir.

Menerusi AUM DR 13/7/2020, beberapa usul menyokong Muhyiddin selaku Perdana Menteri turut tersenarai.

Ia termasuk usul dari Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang masing di turutan 28, 29 dan 30. – MalaysiaGazette