Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersidang pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan tiada rakyat di negara ini terutamanya golongan B40 tercicir dalam pelaksanaan Pelan Rangsangan Prihatin Rakyat (Prihatin).

“Kita akan pastikan semua rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak tidak tercicir menerima bantuan kerajaan,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata, lebih daripada 53 agensi kerajaan di bawah Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) yang akan memantau pelaksanaan Prihatin bagi memastikan pelaksanaan Prihatin berkesan.

Prihatin yang diumumkan pada akhir Mac lalu memperuntukan pakej rangsangan bernilai RM250 bilion dengan tambahan RM10 juta untuk komuniti perniagaan.

Selepas itu, kerajaan mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM35 billion untuk mengurangkan impak pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette