Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Sebanyak empat kes baharu Covid-19 direkodkan sehingga pukul 12 tengahari yang mana kesemuanya adalah kes import manakala terdapat empat kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Berikutan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu ialah 83 kes.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad adalah sebanyak 8,524 kes (97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes) dan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,729 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, empat kes baharu yang dilaporkan hari ini adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara Malaysia dan satu kes bukan warganegara.

“Sehingga kini, terdapat enam kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan malaysia di sini hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham,  tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kekal 122 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, beliau memberitahu, terdapat dua lagi kes positif Covid-19 yang telah dikesan dalam kluster pesakit di bawah pemantauan (PUI) Novgorod.

Tambah beliau , satu kes merupakan kontak rapat kepada kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8673) yang telah dikesan hasil
siasatan lanjut.

“Satu lagi kes pula adalah kes baharu yang telah dilaporkan hari ini (iaitu kes import dari Rusia – kes ke-8727).

“Beliau tiba di Malaysia pada 13 Julai 2020 dan dikesan positif semasa ujian RTK-Antigen di pintu masuk antarabangsa dan kemudiannya telah diasingkan dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Hasilnya didapati, beliau juga merupakan kontak rapat kes ke-8673 dan kes ke-8718 di Novgorod, Rusia,” katanya sambil menambah sehingga jam 12 tengah hari iadi, sebanyak 22 orang telah disaring termasuk lima kes positif dalam kluster ini.

Ujar Noor Hisham, semua 17 orang kontak rapat setakat ini telah disampel dan dikesan negatif Covid-19 dan daripada jumlah itu, 13 orang telah dikenalpasti dari pesawat yang dinaiki dan empat orang ahli keluarga kepada kes ke-8718 dan kes ke-8724.

“Arahan aktiviti nyah kuman dan pembersihan kapal terbang telah dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Lapangan Terbang Antarabansga Kuala Lumpur (KLIA) kepada syarikat penerbangan kapal terbang pada 13 Julai 2020.

“Anak-anak kapal yang berurusan dengan kes positif juga dimaklumkan supaya menjalani saringan kesihatan dan punca jangkitan kluster ini adalah masih dalam siasatan,” katanya.-MalaysiaGazette