Gavin Newsom. foto REUTERS

SACRAMENTO – Gabenor California mengenakan sekatan baharu ke atas perniagaan ketika kes koronavirus dan jumlah kemasukan ke hospital meningkat.

Dua sekolah terbesar di negeri ini – di Los Angeles dan San Diego juga meminta para pelajar berada di rumah pada bulan Ogos.

Gavin Newsom, memerintahkan bar, restoran, teater filem, zoo dan muzium di seluruh negeri yang mempunyai jumlah populasi tertinggi itu ditutup.

Malah, gimnasium, gereja dan salun rambut juga mesti ditutup di 30 daerah yang paling teruk terjejas dengan Covid-19.

Tegasnya, tindakan itu diambil untuk membendung lonjakan kes Covid-19 di beberapa hospital di daerah California.

“Sudah menjadi kewajiban bagi semua untuk mengetahui secara sedar bahawa COVID-19 tidak akan lenyap dalam waktu dekat, sehingga ada vaksin dan / atau terapi yang berkesan,” kata Newsom pada taklimat media.

Sekolah awam di Los Angeles dan San Diego, mengarahkan gabungan 706,000 pelajar dan seramai 88,000 orang kakitangan untuk belajar atas talian apabila sesi persekolahan disambung semula pada bulan Ogos.

Daerah-daerah tersebut mengatakan sekolah-sekolah akan dibuka semula sekiranya kadar jangkitan menurun. – MalaysiaGazette