Pihak sekolah menjangkakan beberapa cabaran yang perlu didepani dengan pembukaan semula sekolah pada Oktober. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pembukaan semula sesi persekolahan bagi sekolah menengah di tiga buah daerah di Kuching, Padawan dan  Samarahan yang dijadualkan bermula esok ditangguhkan ke 3 Ogos depan berikutan kes penularan Covid-19 yang semakin meningkat.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, penangguhan tersebut melibatkan 138 buah sekolah dengan 87 buah sekolah berada di daerah Kuching diikuti Padawan (48 buah sekolah) dan Samarahan (tiga buah sekolah).

“Bagi kelas Prasekolah, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa.

“Ini melibatkan Kelas Peralihan, Tingkatan 1, 2, 3 dan 4, Tingkatan 6 Rendah dan sekolah rendah melibatkan Tahun 5 dan 6 yang dijadualkan bermula pada 15 Julai 2020 dan sekolah rendah bagi Tahun 1, 2, 3 dan 4,” katanya.

Keputusan itu diambil berdasarkan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak dan persetujuan bersama antara semua pihak termasuk wakil Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

Menurut kenyataan itu, bagi sekolah-sekolah di kawasan hijau yang di luar daerah Kuching, Padawan dan Samarahan, jadual pembukaan sekolah akan bermula seperti dijadualkan esok. – MalaysiaGazette