Foto rakaman CCTV
KUALA LUMPUR –  Seorang lelaki yang disyaki membunuh tiga ekor kucing dengan memasukkan ke dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi, di Desa Amanpuri, Kepong pada 12 Julai lepas, berjaya dicekup dan kini direman empat hari.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan suspek telah ditahan pada hari yang sama jam 12.15 malam oleh pegawai penguat kuasa JPV negeri Selangor.

“Perintah reman ke atas orang yang disyaki telah diperoleh dari Mahkamah Selayang, Selangor selama empat hari mulai 13 Julai hingga 16 Julai 2020,”

“Barang kes yang merupakan tiga bangkai kucing telah diambil oleh pegawai penyiasat dihantar ke Makmal Veterinar Salak Tinggi bagi tujuan bedah siasat,” menurut kenyataan itu.

Siasatan dijalankan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), Subseksyen 29(1)(e), iaitu dengan kejamnya menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya ke atas tiga ekor kucing berkenaan.

Hasil siasatan awal rakaman CCTV di kedai dobi, menunjukkan suspek memasukkan tiga ekor kucing ke dalam mesin basuh berasingan pada jam 5.30 pagi.

Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 9.30 pagi hari kejadian selepas seorang wanita yang datang ke dobi untuk membasuh baju, menemukan karkas kucing berkenaan.  – MalaysiaGazette