Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) masih boleh kendalikan kerajaan walaupun hanya mendapat majoriti kecil dalam undian usul pengosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, semalam.

Itu jelas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berhubung kemenangan tipis PN ke atas usul pengguguran jawatan Mohamad Arif yang digantikan dengan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun.

“Kita masih boleh teruskan memerintah biarpun dengan majoriti tipis semalam, masih boleh luluskan rang undang-undang dan masih dapatkan majoriti dan Kabinet masih boleh berfungsi,” katanya dalam sidang media di bilik media Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bahawa kemenangan tipis PN semalam itu jelas menunjukkan kerajaan tidak stabil.

Dalam pada itu, Khairy turut bersetuju dengan kenyataan Shabery bahawa ia sememangnya sukar namun ia merupakan satu cabaran buat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kehadiran kita (di Parlimen) harus diwajibkan terutama ketika ada suara untuk memastikan perundangan baru diluluskan. Harus memastikan tidak boleh ke tandas semasa pengundian berlangsung.

“Kita telah ditugaskan ketika menteri dan timbalan menteri mesti wajib di dewan. Kami mempunyai jadual dan sudah susun. Kami bersedia untuk ini,” katanya.

Bagaimanapun, Khairy berkata, bagi jangka masa panjang, PN memerlukan mandat yang lebih kuat bagi memastikan kedudukan yang utuh untuk memerintah negara.

“Kita perlu fokus pada pemulihan ekonomi segera dan mempersiapkan belanjawan pada bulan November dan RMK12 pada Januari.

“Tetapi dalam jangka masa panjang memerlukan mandat yang lebih kuat,” katanya.

Sebelum itu, Shabery dalam kenyataan di Facebooknya berkata, keputusan mengenai pengguguran Mohamad Ariff menyaksikan PN berada dalam keadaan tidak stabil.

Bekas menteri itu juga berkata, keputusan semalam membuktikan kerajaan yang ada sekarang sukar untuk berfungsi.

“Ujian di parlimen kelmarin (semalam) membuktikan keputusan Yang di-Pertuan Agong betul. Beliau (Muhyiddin) ada angka mencukupi membentuk kerajaan.

“Namun kemenangan tipis menunjukkan kerajaan ini tidak stabil. Lebih-lebih lagi apabila tiba sesi bajet nanti. Banyak pengundian akan berlaku,” kata Shabery. – MalaysiaGazette