Datuk Seri Rina Mohd Harun.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,283 orang gelandangan diselamatkan dan ditempatkan di 23 Pusat Gelandangan Sementara di seluruh negara dalam usaha memastikan penyebaran Covid-19 dapat dikawal.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, inisiatif itu dilakukan oleh kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdasarkan kuasa yang diturunkan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, Jabatan kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan (JKMWP) telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa bertindak Gelandangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di bawah Jawatankuasa Pengurusan Krisis yang ditubuhkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Selain KPWKM dan JKM, task force ini turut melibatkan keahlian dari kementerian dan agensi lain yang berkaitan iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan pengendalian isu gelandangan.

“Bagi kawasan Kuala Lumpur yang mencatakan bilangan gelandangan tertinggi, KWP dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menempatkan gelandangan yang telah diselanatkan di dewan orang ramai, pusat komuniti dan balai raya DBKL yang telh diubah suai untuk dijadikan Penempatan Sementara Gelandangan (PSG),” katanya yang juga Ahli Parlimen Sepang (Bersatu).

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Dungun (Pas), Wan Hassan Mohd Ramli pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Rina menambah, Anjung Singgah Kuala Lumpur dan Pusat Transit Gelandangan turut dijadikan pusat penempatan sementara gelandangan semasa tempoh PKP.

Katanya, semua gelandangan yang diselamatkan telah diberikan saringan teramsuk ujian saringan Covid-19 dan saringan psikologi.

Tambah beliau, KPWKM turut memainkan peranan dalam menjalankan profiling ke atas gelandangan yang berada dalam ketegori kumpulan sasar KPWKM iaitu Orang Kurang Upaya, warga emas dan kanak-kanak.

Profiling gelandangan dilaksanakan bagi membolehkan pengendalian kes dan penempatan yang bersesuaian dibuat dan persediaan bagi tindakan kemasukan ke institusi JKM mengikut prosewdur yang telah ditetapkan sekiranya perlu. – MalaysiaGazette