Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perjalanan udara di Malaysia menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang terus ketara dalam tempoh sembilan hari pertama Julai berbanding Jun lepas, susulan kelonggaran sekatan perjalanan yang kini memasuki bulan kedua.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerusi kenyataan hari ini berkata pergerakan penumpang dan pesawat di 39 lapangan terbang di Malaysia turut meningkat dua kali ganda dengan kadar purata harian masing-masing sebanyak 37,000 dan 550 berbanding 18,650 dan 290 dalam sembilan hari pertama pada Jun lepas.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, angka-angka terbabit merangkumi aliran pergerakan domestik berikutan Malaysia masih belum membuka sepenuhnya sempadan negara kepada perjalanan antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh menyifatkan perkembangan tersebut sebagai tanda-tanda positif pemulihan bagi industri penerbangan negara ini.

“Kita berharap untuk melihat peningkatan lebih ketara pada masa akan datang, khususnya menjelang Hari Raya Aidiladha pada akhir bulan ini,” katanya.

Menurutnya, syarikat-syarikat penerbangan tempatan juga telah melancarkan kempen jualan agresif bagi meningkatkan faktor muatan masing-masing.

Dalam pada itu, Mohd Shukrie turut mengalu-alukan usaha kerajaan Malaysia dan Singapura untuk melaksanakan koridor perjalanan selamat antara kedua-dua negara yang kini dalam proses perbincangan.

“Sehubungan itu, pengenalan Laluan Hijau Malaysia-Singapura yang diumumkan Menteri Luar masing-masing pada 14 Julai lepas merupakan permulaan baik dalam usaha untuk terus melonggarkan pembukaan sempadan kedua-dua negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata MAHB akan terus berusaha bagi memastikan persekitaran lapangan terbang yang selamat untuk pengembara dan pelancong serta memulihkan keyakinan terhadap aktiviti perjalanan udara.

Baru-baru ini, pengendali lapangan terbang itu mengetengahkan beberapa langkah berasaskan teknologi yang dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi menyediakan pengalaman tanpa sentuh di pintu masuk tersebut.

Bagi operasinya di luar negara, aset milik penuh MAHB di Turki iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul, juga telah menyambung operasi berikutan pembukaan semula sempadan negara itu sejak 12 Jun lepas.- BERNAMA