Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersidang pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 97 peratus anggota Kabinet telah menyerahkan pemakluman pengisytiharan harta masing-masing.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hanya tinggal beberapa orang lagi yang masih belum berbuat demikian dan beliau akan mengambil tindakan agar perkara itu disegerakan.

Malah, beliau yakin perkara itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Saya akan ambil tindakan supaya ia disegerakan. Begitu juga timbalan-timbalan menteri dan ahli-ahli Parlimen.

“Saya ucap tahniah kepada yang di sebelah sana (pembangkang) kerana telah menyelesaikan (isytihar harta semasa Pakatan Harapan menjadi kerajaan).

“Tapi yang disini mereka semua masih baru mereka memerlukan sedikit masa saya percaya ia akan disempurnakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyan ahli Parlimen (Kulai-DAP), Teo Nie Ching yang ingin tahu bila jemaah menteri akan mengisytiharkan harta mereka kerana ia dianggap termasuk dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Menurut Nie Ching, Perdana Menteri pernah menyatakan perkara itu dengan menggesa semua anggota Kabinet untuk berbuat demikian dan mereka diberi tempoh sebulan untuk melakukannya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan tempoh pengisytiharan harta tersebut adalah tiga bulan dan bukannya sebulan sebagaimana yang digembar-gemburkan.

Bagaimanapun, tempoh tersebut sudah mencukupi dan wajar untuk mereka berbuat demikian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast